TMJ sedia bayar cukai AS$1 bilion urus niaga tanah Singapura
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menafikan laporan berita yang mendakwa liabiliti cukai melebihi AS$1 bilion menjadi punca kelewatan rancangan penjualan tanah seluas 16.6 hektar miliknya di Singapura.
Sebaliknya, Tunku Ismail berkata, baginda bersedia membayar jumlah berkenaan sebagai sebahagian daripada urus niaga itu.
“As a regular tax payer, this is normal. No complication and more than happy to contribute to both countries. Should make it double (Sebagai pembayar cukai, perkara ini adalah normal. Tiada sebarang komplikasi dan saya berbesar hati untuk menyumbang kepada kedua-dua negara. Kalau boleh, jadikan jumlahnya dua kali ganda),” katanya dalam hantaran di platform X.
Bloomberg sebelum ini melaporkan levi dikenali sebagai ‘land betterment charge’ menjadi antara perkara yang menghalang rundingan antara Tunku Ismail dengan bakal pembeli tanah berkenaan.
Berdasarkan laporan itu, Urban Redevelopment Authority (URA) Singapura pada Mac lalu memaklumkan bahawa Tunku Ismail sudah memohon untuk membangunkan tanah berkenaan bagi tujuan kediaman.
Agensi berkenaan mencadangkan penukaran zon tanah itu bagi membolehkan pembangunan rumah banglo berstatus ‘Good Class Bungalow’ (GCB) dan kediaman bertingkat rendah lain.
Ketua Pegawai Penyelidik portal hartanah tempatan Mogul.sg, Nicholas Mak, berkata nilai tanah berkenaan dianggarkan antara S$3.8 bilion hingga S$4.7 bilion sekiranya penukaran zon pembangunan diluluskan. – NST
