Tidak mahu kerjasama dengan PH pendirian Pemuda UMNO, bukan peribadi – Dr. Akmal
KEPUTUSAN tidak mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Melaka akan datang bukan pendirian peribadi sebaliknya turut mencerminkan pendirian seluruh sayap Pemuda UMNO, kata Datuk Dr Akmal Saleh.
Menurutnya, pendirian itu dipegang teguh dan sebab itu beliau tidak sanggup menggadaikan prinsip semata-mata demi mendapatkan jawatan.
Justeru, beliau mengulangi pendirian untuk tidak bertanding sekiranya BN bekerjasama dengan PH di Melaka, kekal seperti yang dinyatakan sebelum ini.
“Pendirian saya bukan sahaja pendirian seorang Adun. Pendirian saya adalah pendirian ketua Pemuda UMNOyang menyatakan dengan tegas bahawa kita sama sekali tidak ingin bersama dengan PH.
“Pimpinan (atasan) saya tidak tahu, tetapi ini pendirian pimpinan Pemuda. Itu pendirian saya, tegas,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-67.
Akmal berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi pada Ahad lepas berhubung rundingan rasmi antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) mengenai kerjasama menghadapi PRN Melaka selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan.
Presiden UMNO itu mengesahkan perkara itu namun menjelaskan beliau menyerahkan kepada kepimpinan BN Melaka yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh untuk berunding dan memuktamadkan keputusan berkaitan.
Menurut beliau, pendirian supaya UMNOtidak bersama PH juga pernah dinyatakan secara terbuka pada awal tahun lalu menerusi Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia.
Namun katanya, sayap Pemuda menghormati keputusan parti untuk terus kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.
“Kita sebenarnya pada awal tahun lepas, di Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia sudah menyatakan hasrat supaya UMNO keluar daripada kerajaan ini.
“Itu pendirian tegas kita. Tetapi selepas konvensyen itu, parti membuat keputusan untuk kekal sehingga tamat PRU. Jadi, kita hormat pendirian parti,” katanya. – AGENSI
