Sepak takraw rangkul pingat emas keempat, akhiri kemarau 36 tahun di Sukan Asia
MALAYSIA menamatkan kemarau emas selama 36 tahun Sukan Asia dalam acara sepak takraw regu berpasukan apabila menewaskan Thailand di peringkat akhir.
Aksi ini sememangnya cukup dinantikan bagi kedua-dua pasukan. Ini juga peluang buat anak buah Ahmad Jais Baharun membalas dendam terhadap Thailand selepas tewas di final Piala Raja Thai 2026.
Regu pertama Malaysia iaitu Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam menceriakan kem negara dengan meraih mata dalam aksi pertama.
Meskipun diberi tentangan regu Thailand iaitu Phutawan Sopa, Pornthep Tinbangbon dan Marukin Phanmakon, regu negara kekal tenang sebelum meraih mata pertama dengan keputusan 15-9, 5-15, 15-11.
Kemenangan negara kemudiannya disahkan menerusi regu kedua negara, Zulkifli Razak, Afifuddin Razali dan Aidil Aiman Zawawi.
Selepas meraih kemenangan 15-13 pada set pertama, regu kedua Thailand cuba bangkit pada set kedua. Walau bagaimanapun, kemenangan sah milik Malaysia dengan keputusan 15-10.
Keputusan ini menyaksikan kemarau pingat emas kem negara dalam acara regu berpasukan selama 36 tahun berakhir. Kali terakhir perkara itu dicapai dalam Sukan Asia edisi 1990.
Ini juga pingat emas keempat Malaysia dalam Sukan Asia 2026 setakat ini.
