Pemuda UMNO, PAS mahu pakatan diteruskan sampai PRU16
PEMUDA UMNO dan PAS sepakat akan berusaha mengekalkan kerjasama antara sayap itu sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS, Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi, berkata pimpinan keduanya mengadakan pertemuan semalam dengan tumpuan berkempen bersama pada PRN Negeri Sembilan.
“Pertemuan itu memberi fokus untuk PRN Negeri Sembilan, tetapi kami barisan Pemuda akan cuba supaya hubungan ini kekal hingga PRU16 bagi menguatkan kuasa politik Melayu dan Islam.
“Namun, semua keputusan kerjasama bukan Pemuda yang putuskan, tetapi PAS Pusat dan Majlis Tertinggi UMNO,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mencapai pakatan pilihan raya PRN Negeri Sembilan apabila BN bertanding di 25 kerusi dan baki 11 kawasan ditandingi PN.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menyuarakan harapan agar pakatan itu dapat bertahan berterusan di sebalik sejarah turun naik hubungannya bersama UMNOdengan pemimpin parti itu belum memberikan komitmen secara pasti.
BN kekal komponen utama dalam kerajaan perpaduan pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merangkap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
PH bertanding solo di semua 36 DUN Negeri Sembilan. – MADANI NEWS
