Kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan semakin pasti, PH akan terima cabaran terbesar seperti di Johor

KEPUTUSAN Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dilihat menguatkan lagi spekulasi mengenai kewujudan kerjasama pilihan raya dengan Perikatan Nasional (PN), sekali gus berpotensi mengubah landskap persaingan tiga penjuru yang sebelum ini dijangka berlaku.
Langkah itu mencetuskan jangkaan bahawa BN akan memberi laluan kepada calon-calon PN di kerusi tertentu bagi mengelakkan pertembungan sesama parti yang bersaing mendapatkan sokongan pengundi Melayu.
Walaupun Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan gabungan itu akan bekerjasama dengan sebuah parti, beliau enggan mendedahkan identiti rakan kerjasama tersebut. Kenyataannya hanya memberi bayangan bahawa tumpuan utama adalah memastikan Pakatan Harapan (PH), khususnya Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di kerusi Linggi, berdepan saingan yang lebih sengit.
Perkembangan itu dilihat selari dengan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang menawarkan kerjasama kepada UMNO, termasuk kesediaan PAS memberi laluan di 17 kerusi yang ditandinginya demi mengelakkan perpecahan undi Melayu.
Walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan rundingan tersebut masih di peringkat persefahaman dan belum dimuktamadkan, tindakan BN tidak mengumumkan calon bagi semua 36 kerusi malam ini dilihat menguatkan lagi tanggapan bahawa persefahaman itu kini sedang diterjemahkan dalam bentuk pembahagian kerusi.
Lebih menarik, rundingan berkenaan dikatakan hanya melibatkan PAS dan Parti Wawasan Negara (Wawasan), tanpa penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus mencerminkan usaha membentuk kerjasama yang lebih bersifat taktikal berbanding gabungan politik secara rasmi.
Formula Johor?
Penganalisis politik melihat perkembangan di Negeri Sembilan mempunyai persamaan dengan strategi yang digunakan semasa PRN Johor apabila PAS mengarahkan penyokongnya membantu calon-calon BN di kawasan yang tidak ditandinginya.
Strategi tersebut akhirnya menyaksikan BN meraih kemenangan besar, manakala PAS pula tidak memenangi sebarang kerusi. Namun bagi PAS, matlamat utama ketika itu bukanlah kemenangan parti, sebaliknya memastikan kerajaan negeri terus dipimpin oleh kepimpinan Melayu-Islam dan menghalang PH daripada mengambil alih pentadbiran.
Malah, Abdul Hadi sendiri baru-baru ini mengakui PAS tidak menyesal gagal memenangi sebarang kerusi di Johor kerana menyifatkan negeri itu sebagai “selamat” hasil kemenangan BN. Beliau turut mendedahkan PAS sanggup mengarahkan ahlinya menyokong calon BN termasuk daripada MCA demi memastikan undi Melayu tidak berpecah.
Sekiranya pendekatan sama diterapkan di Negeri Sembilan, ia berpotensi memberi kelebihan besar kepada BN dan PN, khususnya di kerusi-kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.
PH berdepan cabaran lebih besar
Selama ini, kekuatan PH di beberapa kawasan banyak bergantung kepada perpecahan undi antara BN dan PN. Apabila kedua-dua blok itu bertanding secara berasingan, undi Melayu lazimnya berpecah, sekali gus membuka ruang kepada PH memenangi kerusi dengan sokongan pengundi pelbagai kaum.
Namun, jika berlaku penyelarasan calon atau persefahaman pilihan raya antara BN dan PN, jumlah undi Melayu berpotensi disatukan. Senario itu boleh mengubah kedudukan di banyak kerusi marginal yang sebelum ini dilihat memihak kepada PH.
Atas sebab itu, keputusan BN tidak mengisi semua 36 kerusi DUN dianggap bukan sekadar strategi pengagihan kerusi, sebaliknya isyarat bahawa kedua-dua blok politik Melayu sedang menguji model kerjasama yang pernah memberikan hasil positif di Johor.
Walaupun sehingga kini belum ada pengumuman rasmi mengenai bentuk kerjasama tersebut, perkembangan beberapa hari kebelakangan ini menunjukkan kemungkinan berlakunya pertandingan satu lawan satu antara blok BN-PN dengan PH di lebih banyak kerusi.
Jika formula itu benar-benar menjadi kenyataan dan diterjemahkan kepada pemindahan undi yang berkesan, PH dijangka berdepan cabaran yang jauh lebih sukar berbanding jangkaan awal, sekali gus menjadikan PRN Negeri Sembilan antara medan persaingan paling sengit dalam pilihan raya kali ini. – MADANI NEWS
