Letupan Kem Hobart: TDM sahkan identiti dua anggota terkorban
TENTERA Darat Malaysia (TDM) mengesahkan identiti dua anggotanya yang terkorban dalam insiden letupan ketika latihan membaling grenad di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah, pagi tadi.
Dalam satu kenyataan, TDM memaklumkan mangsa ialah Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (1 RAJD).
Menurut kenyataan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 10.57 pagi sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
TDM menjelaskan insiden berlaku semasa kedua-dua anggota terbabit sedang menjalani Latihan Peningkatan Tempur RAJD Divisyen Kedua Infantri Malaysia.
“Jenazah kedua-dua anggota akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat,” menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang membabitkan dua anggota keselamatan itu pada pukul 12.30 tengah hari.
Dalam perkembangan sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman telah mengarahkan siasatan terperinci dijalankan segera bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
Beliau turut menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan dua anggota tersebut serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Beliau mendoakan agar keluarga kedua-dua mangsa tabah menghadapi dugaan dan kehilangan insan tersayang,” menurut kenyataan itu lagi.
TDM turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan latihan sentiasa diberi perhatian dan segala penambahbaikan yang perlu akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan.
— BERNAMA
