Sultan Selangor tetap tidak perkenan ternakan babi di Kuala Langat, pemindahan ke ladang baharu Bukit Tagar perlu disegerakan
SHAH ALAM — Pemindahan ladang penternakan babi dari Kuala Langat dan Sepang ke kawasan khas di Bukit Tagar, Hulu Selangor akan disegerakan pada tahun ini, lebih awal daripada perancangan asal yang dijadualkan sekitar 2030.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata keputusan itu dibuat susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak memperkenankan pembaharuan lesen sementara bagi ladang penternakan babi di daerah Kuala Langat.
Menurut Izham, langkah segera kerajaan negeri ketika ini adalah menyelesaikan isu tanah di Bukit Tagar, termasuk status pemilikan tanah yang kini merupakan ladang kelapa sawit milik persendirian.
“Kita perlu percepatkan pemindahan ladang babi dari Kuala Langat dan Sepang. Namun perlu ditegaskan, tiada peruntukan kewangan kerajaan negeri digunakan untuk projek ini.
“Kita akan selesaikan isu tanah secepat mungkin dan berbincang kaedah terbaik bagi memudahkan penternak berpindah ke kawasan Bukit Tagar yang berkeluasan 202 hektar,” katanya dalam sidang media khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.
Izham berkata kawasan Bukit Tagar dipilih kerana lokasinya jauh daripada penempatan penduduk dan akan dibangunkan berasaskan konsep penternakan moden dan tertutup sepenuhnya.
“Syarat operasi akan diperketatkan. Tiada kumbahan mengalir keluar, mesti patuh Zero Discharge Policy (ZDP), mempunyai zon penampan yang luas serta menggunakan sistem tertutup seperti penternakan ayam moden,” katanya.
Beliau berkata sebarang pengeluaran lesen hanya akan dipertimbangkan di lokasi baharu Bukit Tagar, tertakluk kepada kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang akan dibentangkan pada Rabu ini.
“Lesen sementara di Kuala Langat tidak akan dikeluarkan. Selepas pemindahan, tapak ladang sedia ada akan dipulihkan dan dirawat sebelum digunakan semula bagi tujuan pertanian,” katanya.
Izham turut memaklumkan, setakat ini terdapat 115 ladang penternakan babi di Selangor, termasuk yang beroperasi secara haram, dengan sebahagian penternak memiliki lebih daripada satu ladang.
“Semua ladang di Kuala Langat dan Sepang akan ditutup sepenuhnya selepas proses pemindahan ini selesai,” katanya.
Beliau berkata perkara itu telah disembah maklum kepada Sultan Sharafuddin dalam pertemuan selama kira-kira 45 minit di Istana Bukit Kayangan pagi tadi.
Terdahulu, Sultan Selangor menzahirkan kemurkaan terhadap perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi ladang babi di Tanjong Sepat bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Baginda bertitah tidak bersetuju khususnya jika penternakan tersebut melibatkan skala besar dan berorientasikan eksport, selain memberi kesan negatif kepada penduduk setempat dan alam sekitar. – MADANI NEWS
