Seorang maut, sembilan cedera dalam letupan di sebuah universiti di Bukit Damansara
SEORANG lelaki berusia 24 tahun meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur selepas kejadian letupan di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata sembilan orang lagi cedera, termasuk dua kontraktor, seorang kakitangan pentadbiran universiti, dua pekerja kafeteria warga asing, dan empat pelajar.
“Sembilan mangsa terlibat dengan kecederaan berbeza termasuk ada mangsa cedera parah, melecur serta kecederaan akibat terkena serpihan kerana letupan berlaku dengan kuat sehingga menyebabkan kerosakan pada dinding di kawasan terlibat,” katanya seperti dilapor Bernama.
Fadil berkata kesemua mangsa dihantar ke beberapa hospital berdekatan termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta Hospital Sungai Buloh dan diasingkan mengikut tahap kecederaan masing-masing.
Jelas Fadil, kawasan kejadian belum dipenuhi penuntut semasa letupan berlaku kerana ramai yang masih bercuti.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama-sama pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan kawasan benar-benar selamat dan mengelakkan risiko letupan susulan.
“Setakat ini, JBPM sudah mengesahkan kawasan itu selamat sepenuhnya dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
Fadil berkata pihak pengurusan universiti telah memanggil juruteknik susulan masalah teknikal pada sistem penyaman udara itu namun kerja pembaikan belum sempat dilaksanakan. – MADANI NEWS
