Bersatu calonkan Muhyiddin PM ke-11, beliau tegaskan Hamzah kekal sahabat karib | Madani News

Bersatu calonkan Muhyiddin PM ke-11, beliau tegaskan Hamzah kekal sahabat karib

Bersatu calonkan Muhyiddin PM ke-11, beliau tegaskan Hamzah kekal sahabat karib

PERHIMPUNAN Agung Tahunan (PAT) Bersatu sebulat suara menyokong Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ke-11 serta mengekalkannya sebagai presiden parti.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata PAT kali ke-8 itu turut meluluskan usul ucapan dasar presiden dan bertekad untuk memperkukuh jentera pilihan raya di seluruh negara.

“Perwakilan juga menzahirkan kesungguhan untuk terus bekerja kuat di lapangan, mempertingkatkan kemahiran serta memperkukuh strategi menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata, PAT yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan 20 pembahas mengambil bahagian mewakili negeri, sayap parti serta wakil mahasiswa dengan tumpuan perbahasan terhadap isu kos sara hidup, ekonomi global dan serantau, perpaduan rakyat serta politik semasa.

Sementara itu, Muhyiddin pada sidang media menolak spekulasi mengenai keretakan dalam parti, khususnya hubungan beliau dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Kita semua rakan. Tentu saja ada orang yang cuba cetus persepsi bahawa saya dan Hamzah bukan rakan karib. Inilah ‘dream team’ kita,” katanya.

Beliau juga menegaskan keyakinannya terhadap pembentukan gabungan longgar parti-parti pembangkang yang menurutnya mampu memberikan prospek cerah dalam jangka panjang.

Katanya, gabungan itu kini memberi tumpuan kepada isu-isu ekonomi termasuk sokongan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tanpa mengira kaum.

“Sekarang kita sudah langkau batas perkauman. Kita mahu jumpa semua pihak untuk bincang,” katanya sambil tidak menolak kerjasama itu boleh diperluas ke arena pilihan raya bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru.

Bulan lalu, 11 parti di luar blok kerajaan mencapai persetujuan membentuk sebuah gabungan longgar bagi menuntut akauntabiliti daripada pentadbiran semasa serta menyuarakan isu rakyat, termasuk dakwaan kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janji reformasi. – MADANI NEWS