Zara Qairina : Barisan peguam mohon pendakwaan lebih berat ke atas lima remaja esok

”Apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan mengikut Seksyen 507D (2) atau kesalahan yang lebih berat daripada itu, mereka (lima remaja terbabit) tidak boleh lagi didakwa atas dasar ‘Double Jeopardy’” – Barisan Peguam
JABATAN Peguam Negara (AGC) diminta mempertimbangkan untuk mengenakan pendakwaan lebih berat terhadap lima remaja yang akan dituduh esok dalam kes buli ke atas Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Barisan Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir dalam kenyataan bersama hari ini berpendapat, langkah untuk mendakwa lima suspek terbabit atas pertuduhan buli mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang yang berkemungkinan berasa terganggu, tertekan, takut atau cemas yang sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda atau kedua-duanya, adalah ringan.
Berikutan barisan peguam berkenaan yang diketuai Hamid Ismail memohon AGC menangguhkan pendakwaan untuk sementara waktu.
“Kami memohon Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dapat mempertimbangkan untuk semua remaja terbabit dituduh mengikut Seksyen 507C (2) Kanun Keseksaan iaitu melakukan provokasi yang menyebabkan mangsa mencederakan diri atau membunuh diri yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Sekiranya keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan itu, kami berharap supaya siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan itu dan pendakwaan ditangguh seketika.
“Namun, sekiranya kesalahan yang ada sekarang dan hasil siasatan lanjut mencukupi untuk mendakwa semua remaja bagi kesalahan lebih berat daripada Seksyen 507D (2), kami merayu mereka didakwa dengan kesalahan yang lebih berat itu,” katanya.
Hamid berkata, barisan peguam khuatir jika pendakwaan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dikenakan, semua tertuduh akan terus mengaku bersalah pada esok atau tarikh berikutnya ketika pertuduhan dibuat.
“Apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan mengikut Seksyen 507D (2) atau kesalahan yang lebih berat daripada itu, mereka (lima remaja terbabit) tidak boleh lagi didakwa atas dasar ‘Double Jeopardy’ (tidak boleh didakwa lebih dari sekali mengikur seksyen sama) yang termaktub dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,’’ kata kenyataan itu sambil memaklumkan mereka telah menghantar surat melalui emel kepada Pegm Negara berhubung perkara itu.
Semalam, Mohd Dusuki berkata, lima remaja perempuan akan didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu pada Rabu ini (esok) berkaitan kes buli Allahyarham Zara Qairina,13, kerana mengugut dengan mengeluarkan perkataan bersifat mengancam.
Beliau berkata, pertuduhan ke atas lima remaja bawah 18 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang yang berkemungkinan berasa terganggu, tertekan, takut atau cemas.
- Pendakwaan tetap diteruskan esok – Peguam Negara
SEMENTARA ITU, Jabatan Peguam Negara (AGC) tetap akan meneruskan pendakwaan terhadap lima remaja perempuan berusia bawah 18 tahun di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, esok.
Sinar Harian melaporkan, Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata pendakwaan akan diteruskan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan (Pindaan 2025) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Kita akan teruskan,” katanya.