TVETMARA dan UMPSA perkukuh hubungan strategik

PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) di sini menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (TKPP) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Ir. Dr. Mahzan Teh semalam dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Dalam sesi pertemuan tersebut, Mahzan menekankan peranan penting TVETMARA yang merangkumi GIATMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan Malaysia-Japan Industrial Institute (MJII), dalam melahirkan tenaga mahir negara.
Beliau menyatakan hasrat MARA untuk membina laluan lebih sistematik bagi pelajar lepasan TVETMARA menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di UMPSA.
“Kami mahu memastikan pelajar TVETMARA bukan sahaja dapat melanjutkan pengajian ke peringkat diploma atau ijazah, malah turut dijamin peluang pekerjaan serta diberi ruang untuk mengkomersialkan hasil inovasi mereka,” ujarnya dalam kenyataan media, hari ini.
Inisiatif tersebut turut memberi penekanan kepada kebolehpasaran graduan melalui pendekatan kolaboratif antara MARA, UMPSA dan pihak industri.
Laluan akademik ini bakal merangkumi pemetaan kredit, pengiktirafan kemahiran serta pelaksanaan program pendidikan berasaskan kerja.
Antara intipati utama kerjasama yang dibincangkan termasuk pembentukan laluan pendidikan formal dari TVETMARA ke UMPSA, jaminan kerjaya melalui jaringan kerjasama industri, pengkomersialan produk inovasi hasil projek pelajar dan pensyarah serta pelaksanaan program latihan bersepadu serta penyelidikan bersama.
Kunjungan hormat itu juga menandakan permulaan kepada kerjasama strategik jangka panjang dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, sekali gus menyokong aspirasi negara memperkasa pendidikan TVET sebagai pemacu pembangunan masa depan. – MADANI NEWS