PERKESO hulur bantuan kepada keluarga bekas petugas Utusan

PEMERGIAN seorang bekas petugas Utusan Melayu (M) Berhad, Mohd Khairi Mazlan, akibat kanser limfoma pada 25 Mei lalu meninggalkan kesan mendalam buat isteri dan empat anaknya, termasuk seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) yang masih bersekolah.
Namun, di sebalik kedukaan yang menyelubungi keluarga ini, keprihatinan Allahyarham semasa hayatnya dengan mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membuka ruang kelegaan, bukan sahaja dari sudut kewangan, malah sebagai sinar harapan untuk waris meneruskan kehidupan.
Menerusi semakan rekod PERKESO, kali terakhir caruman Allahyarham adalah pada Jun 2021, sekali gus melayakkan waris menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) secara sekali bayar sebanyak RM3,000 serta bayaran berkala Pencen Penakat sebanyak RM2,553 yang akan disalurkan bermula hujung bulan ini.
Balu Allahyarham, Anis Sabariah Kamaruddin, 45, menyifatkan bantuan ini sebagai suatu rahmat tidak disangka pada waktu yang amat mencabar, memandangkan perlu terus menyara empat anak berusia antara sembilan hingga 20 tahun, termasuk seorang yang memerlukan perhatian khas.
“Justeru, alhamdulillah, faedah ini sedikit sebanyak mampu menampung perbelanjaan pendidikan dan keperluan harian kami sekeluarga,” katanya ketika disantuni dalam program Ziarah Prihatin PERKESO di kediamannya di Klang Gate.
Sementara itu, PERKESO menerusi kenyataan menyifatkan pemergian seorang ketua keluarga sememangnya kehilangan yang tiada galang ganti.
“Namun, PERKESO sentiasa berusaha memastikan setiap pencarum yang layak akan menerima hak mereka dan keluarga yang ditinggalkan akan terus dibela serta dilindungi.
“Perlindungan keselamatan sosial bukan sekadar angka bantuan kewangan, tetapi simbol kasih sayang yang diwariskan pencarum kepada mereka yang tersayang, walaupun selepas ketiadaan mereka.
“Inilah tujuan utama PERKESO ditubuhkan demi memastikan pencarum dan waris ditinggalkan tanpa sokongan, lebih-lebih lagi ketika berdepan saat paling sukar dalam hidup mereka,” menurut kenyataan berkenaan.
Sehubungan itu, PERKESO menyarankan setiap majikan untuk terus melunaskan caruman pekerja secara konsisten demi memastikan keluarga mereka dilindungi dengan sempurna, andai perkara tidak diingini berlaku. Walaupun masa depan tidak dapat diduga, namun perlindungan dapat dirancang dan dalam setiap caruman itu, tersimpan harapan buat yang tercinta.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews