Jelajah Promosi Sukan SEA 2027 gegar Pantai Timur mulai esok
KUALA LUMPUR: Semangat menyambut Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14, Malaysia 2027 bakal dibawa ke Pantai Timur menerusi penganjuran Jelajah Promosi @Pantai Timur yang melibatkan Pahang, Terengganu dan Kelantan bermula 20 hingga 23 November ini.
Program selama empat hari itu merupakan sebahagian daripada usaha Sekretariat MASOC 2027 untuk menyemarakkan sokongan rakyat terhadap penganjuran temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu yang bakal berlangsung di Malaysia tahun depan.
Jelajah berkenaan turut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai persiapan Malaysia sebagai tuan rumah, selain menggalakkan penglibatan orang ramai dalam menyambut kehadiran atlet terbaik dari seluruh rantau ASEAN.
Sepanjang program itu, beberapa lokasi tumpuan awam di ketiga-tiga negeri akan menjadi persinggahan, termasuk kawasan rekreasi, pantai, pusat komuniti, institusi pendidikan dan lokasi ikonik.

Menurut Sekretariat MASOC 2027, program berkenaan turut membuka peluang kepada pengamal media di ketiga-tiga negeri untuk membuat liputan secara langsung mengenai aktiviti promosi dan menyampaikan kemeriahan jelajah kepada masyarakat setempat.
Rakan media juga dijemput untuk bersama-sama menyebarluaskan mesej penganjuran temasya berkenaan yang membawa tema ‘Raikan Perpaduan’.
Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 pada 2027, sekali gus membuka peluang kepada negara untuk memperkukuh kedudukan sebagai destinasi sukan utama di rantau ini.
Sokongan dan penglibatan rakyat dilihat sebagai antara elemen penting dalam memastikan penganjuran temasya berkenaan bukan sahaja berlangsung dengan jayanya, malah menjadi platform menyatukan masyarakat menerusi semangat kesukanan. – MADANI NEWS
