Melaka muncul juara berpasukan PNAGS 2026, lima jaguh mara ke pentas dunia

MELAKA muncul juara kategori berpasukan negeri pada Kejohanan Akhir Kebangsaan Perodua National Amateur Golf Series (PNAGS) 2026 yang berlangsung di Templer Park Country & Golf Club, Rawang, semalam.
Diketuai kapten Mohd Firdaus Sabri, Melaka mengumpul keseluruhan 590 pukulan bersih selepas dua hari saingan untuk merangkul Perodua Challenge Trophy.
Melaka menamatkan saingan di depan Pulau Pinang yang mengumpul 598 pukulan bersih, manakala Pahang di tempat ketiga dengan 603 pukulan.
Kejohanan akhir itu menghimpunkan 84 pemain golf amatur terbaik negara dalam saingan selama dua hari bagi menentukan juara lima kategori Medal A hingga E, selain juara keseluruhan kategori Gross dan juara berpasukan negeri.
Nordin Yahya, yang mempunyai handicap satu, pula muncul juara kategori Gross selepas merekodkan 153 pukulan agregat sepanjang dua pusingan.
Dalam kategori Medal A, Nuralif Mohd Zahari (HCP 5) muncul juara dengan catatan 149 pukulan bersih.
Azhari Yusof (HCP 10) menjuarai Medal C dengan 146 pukulan bersih, manakala Cheah Chin Lye (HCP 16) mengungguli Medal D selepas mengumpul 153 pukulan.
Ahmad Hakim Sabri melengkapkan senarai juara PNAGS 2026 apabila menjuarai Medal E dengan catatan cemerlang 142 pukulan bersih.
Kelima-lima juara kategori Medal itu akan menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Dunia World Amateur Golfers Championship (WAGC) 2026 yang dijadual berlangsung di Desaru Coast, Johor, dari 23 hingga 31 Oktober ini.
Kejohanan dunia itu dijangka menghimpunkan kira-kira 500 pemain golf amatur dari 48 negara, sekali gus membuka peluang kepada wakil Malaysia bersaing di pentas antarabangsa.
Kehadiran mereka di Desaru Coast turut dilihat mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi sukan dan pelancongan golf bertaraf antarabangsa, terutama dalam sempena Visit Malaysia Year 2026 dan Visit Johor Year 2026.
Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin, yang hadir menyaksikan kejohanan akhir PNAGS 2026, turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Beliau berkata, perhatian kini beralih kepada Desaru Coast apabila pasukan Malaysia bakal menguji kemampuan menentang pemain amatur terbaik dari seluruh dunia.
“PNAGS, daripada peringkat kelayakan negeri hingga ke peringkat akhir kebangsaan, terus menyediakan peluang kepada pemain golf Malaysia untuk bersaing di tahap tertinggi, selain mempromosikan Malaysia sebagai destinasi bertaraf dunia bagi sukan dan pelancongan golf,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Belia dan Sukan, Abdul Aziz Abd Rahman; Pengarah Kanan Produksi Tourism Malaysia, Mohd Shahrir Mohd Ali; dan Presiden WAGC, Isac Saminathan. – MADANI NEWS
