‘Mengapa baru sekarang dedah isu TH? RCI telah lama – Abdul Hadi
PAS mempersoalkan mengapa kerajaan baru sekarang mendedahkan siasatan isu berkaitan Tabung Haji (TH) sedangkan perkara berkenaan sudah lama dibangkitkan.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata tindakan itu dilihat ‘seolah-olah ada sesuatu’ ketika negara menghampiri pilihan raya, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tempoh masa siasatan dijalankan.
“Kenapa sekarang baru disiasat (didedahkan)? Dekat PRN (Pilihan Raya Negeri) baru nak disebut, dekat PRN Negeri Sembilan baru nak disebut. Lepas ini nak pilihan raya umum pula, lama sangat.
“Lepas itu, mengapa (orang) tertentu sahaja (disiasat)? Yang ada kaitan… yang jadi penyumbang, perantara dan banyaklah… tak menyeluruh tindakan ini.
“Apa ia ada tujuan nak jatuhkan imej Islam, nak salahkan Islam… bukan salahkan orang… yang disebut nama saja, orang tak sebut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen PAS Johor, hari ini.
Hadir sama Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam Datuk Samsolbari Jamali.
Justeru, Abdul Hadi menggesa kerajaan turut menyiasat beberapa agensi lain termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya.
“Mengapa namakan TH sahaja sedangkan yang seperti GLC (tidak dilakukan)… sebab TH ini (milik) orang Islam?” katanya. – AGENSI
