Perodua turunkan harga Axia sehingga RM4,700, ringankan beban rakyat
KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mengumumkan pengurangan harga bagi model kompak mampu miliknya, Axia, sehingga RM4,700 berkuat kuasa serta-merta sebagai usaha membantu rakyat memiliki kenderaan pada harga lebih berpatutan.
Perodua dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelarasan harga itu dibuat hasil peningkatan berterusan kecekapan operasi syarikat, sekali gus membolehkan penjimatan tersebut dikongsi secara langsung dengan pelanggan.
Menurut syarikat automotif nasional itu, langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Perodua dalam membantu meringankan tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika keadaan ekonomi masih mencabar.
Model Axia 1.0G menerima pengurangan harga paling tinggi iaitu sebanyak RM4,700, diikuti Axia 1.0X sebanyak RM1,500, Axia 1.0SE sebanyak RM1,000, manakala Axia 1.0AV dikurangkan sebanyak RM500.
Pengurangan harga itu melibatkan semua pasaran Perodua di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pelarasan harga berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk mengurangkan beban kewangan rakyat Malaysia.
“Langkah ini juga mencerminkan usaha kami untuk terus menambah baik kecekapan operasi, yang mana sebelum ini telah terbukti menerusi pengurangan kos servis serta pengurangan harga QV-E dan pakej Battery as a Service (BaaS) yang ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata, semua spesifikasi dan standard kualiti Perodua Axia kekal tidak berubah, manakala penjimatan yang diperoleh adalah hasil penambahbaikan proses kerja serta peningkatan kecekapan operasi syarikat.
Menurutnya, pengurangan harga tersebut bukan dibuat dengan mengurangkan ciri atau kualiti produk, sebaliknya dicapai menerusi inisiatif penambahbaikan yang mampan serta kerjasama erat bersama pembekal dan rakan strategik dalam ekosistem automotif.
“Kami berterima kasih kepada pembekal dan pengedar kami atas kerjasama dalam meningkatkan kecekapan kos demi manfaat bersama, bukan sahaja kepada pemain industri tetapi juga seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Perodua turut menegaskan bahawa Axia kekal sebagai antara model kereta mampu milik paling mendapat kepercayaan rakyat Malaysia dan terus menjadi pilihan utama sebagai kenderaan harian.
Menurut syarikat itu, pelarasan harga baharu berkenaan dijangka membolehkan lebih ramai rakyat memiliki Axia, sekali gus mengukuhkan komitmen Perodua untuk menyediakan penyelesaian mobiliti yang berkualiti, mampu milik dan mudah diakses di seluruh negara. – MADANI NEWS
