Harimau Malaya bangkit benam Myanmar 2-1, Josue muncul wira di Yangon
SKUAD Harimau Malaya memulakan kempen Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026 dengan langkah kanan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Myanmar 2-1 di Stadium Thuwunna, Yangon, hari ini.
Walaupun tanpa pemain-pemain bintang kerana tidak dilepaskan oleh kelab masing-masing, anak buah Tan Cheng Hoe tetap turun dengan misi membawa pulang tiga mata penuh dan mereka diuji seawal babak pertama apabila tuan rumah membuka jaringan menerusi jaringan Myat Kaung Khant pada minit ke-10.
Gol awal itu menyentak rentak permainan Malaysia yang kemudian menggandakan usaha memburu gol penyamaan. Bagaimanapun, beberapa percubaan berbahaya berjaya dipatahkan penjaga gol Myanmar, Zin Nyi Nyi Aung, yang tampil cemerlang mengawal gawang.
Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) II, G. Pavithran hampir mengembalikan kedudukan seimbang pada minit ke-40, namun rembatan beliau sekali lagi dinafikan Zin, sekali gus memastikan Myanmar mendahului 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Harimau Malaya tampil dengan aksi lebih bertenaga dan berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-52 menerusi tonggak naturalisasi, Paulo Josue.
Jaringan itu menyuntik semangat skuad negara yang terus mengasak sebelum dihadiahkan sepakan penalti lima minit kemudian selepas pengadil dari Jepun, Yusuke Ohashi, mengesan kekasaran terhadap Mohamadou Sumareh di dalam kotak penalti.
Josue tidak mensia-siakan peluang apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-57 untuk meledakkan gol kedua peribadinya, sekali gus meletakkan Malaysia di depan buat kali pertama dalam perlawanan.
Bagi memperkukuhkan momentum, Tan Cheng Hoe membawa masuk Haqimi Azim Rosli dan Aliff Haiqal Lau, manakala Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal turut membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan.
Myanmar hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-64 menerusi tandukan Than Paing, namun penjaga gol Azri Ghani bertindak cemerlang menepis bola yang kemudian terkena palang sebelum berjaya dikawal.
Walaupun diasak bertali arus pada penghujung perlawanan, benteng pertahanan negara kekal ampuh untuk mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Kemenangan itu memberikan permulaan sempurna buat Malaysia dalam saingan Kumpulan B, sekali gus meningkatkan keyakinan pasukan menjelang aksi kedua menentang Laos pada 28 Julai.
Sementara itu, meskipun Myanmar gagal mengutip mata di laman sendiri, manakala penjaring gol mereka, Myat Kaung Khant, dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan penilaian 7.8. – MADANI NEWS
