35 tahun berkhidmat, Ayob Khan sahkan bersara Ahad ini
TIMBALAN Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay akan bersara Ahad ni selepas hampir 35 tahun berkhidmat, menamatkan kerjaya yang mengangkatnya sebagai antara pegawai antikeganasan paling terkenal Malaysia.
Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran bukunya, Dari Pendang ke Bukit Aman, Ayob Khan berkata beliau tiada sebarang perancangan selepas bersara tetapi merancang berehat selepas meninggalkan polis.
“Ahad ini hari terakhir saya berkhidmat,” katanya pada acara yang turut dihadiri Gabenor Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Bagaimanapun, Ayob Khab berkata beliau merancang menulis satu lagi buku yang memfokuskan terhadap Al Qaeda dan siasatan terhadap serangan bom di Pusat Dagangan Dunia pada 1993, tetapi perlu menunggu sehingga bahan diperlukan diubah status.
Bercakap mengenai pelancaran buku hari ini, Ayob Khan berkata ia menceritakan pengalamannya sebagai polis termasuk ketika mengetuai cawangan antikeganasan.
Katanya beliau mahu membuka mata rakyat Malaysia terhadap pengorbanan anggota polis yang lazimnya tidak dipandang.
Keganasan tak akan berakhir
Ayob Khan turut memberi amaran bahawa keganasan kekal sebagai ancaman yang sentiasa berkembang walaupun landskap keselamatan global berubah.
“Ancaman keganasan dan ekstremisme tidak akan berakhir. Hanya trend berubah. Merekrut anggota kini dilakukan dalam talian,” katanya dengan menambah golongan ekstremis menggunakan platform digital termasuk permainan seperti Roblox untuk merekrut golongan muda.
Beliau memberi amaran bahawa agensi keselamatan tidak boleh bersikap sambil lewa.
Katanya, sebarang serangan keganasan yang berjaya dilaksanakan adalah “kegagalan risikan” kerana peranan cawangan khas adalah untuk mengesan, mengganggu dan menghalang serangan sebelum dilakukan. – MADANI NEWS
