Maszlee harap dialog politik jadi pencetus budaya politik matang PRN Johor
JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menyifatkan sesi dialog politik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai langkah penting dalam membentuk budaya politik yang lebih matang dan berasaskan hujah.
Beliau berkata, program berkenaan bukan sahaja membuka ruang pertemuan antara calon dan rakyat, malah menjadi platform untuk mendidik pengundi supaya membuat pilihan berdasarkan rekod, kemampuan serta tawaran yang dikemukakan calon.
Menurut bekas Menteri Pendidikan itu, budaya dialog dan debat politik perlu diperkasakan agar masyarakat tidak lagi membuat keputusan hanya berdasarkan sentimen atau emosi, sebaliknya menilai sesuatu berdasarkan fakta dan bukti.
“Saya melihat sesi dialog seperti ini sebagai satu titik tolak kepada budaya politik baharu yang lebih matang. Rakyat perlu diberi ruang mendengar, bertanya dan menilai sendiri kemampuan seseorang pemimpin.
“Kita mahu rakyat memilih berdasarkan hujah, fakta dan bukti, bukan sekadar dipengaruhi sentimen atau emosi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Dialog PRN Johor di Auditorium Permata Sari, Jabatan Penyiaran Negeri Johor, malam tadi, lapor Bernama.
Program anjuran bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro dan Sinar Harian itu turut dihadiri Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Mengulas mengenai baki tempoh kempen yang semakin suntuk, Maszlee berkata fokus utama jentera PH ketika ini adalah memastikan lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.
Katanya, usaha turut digerakkan bagi menggalakkan pengundi yang berada di luar Johor supaya pulang ke kawasan masing-masing bagi memilih wakil rakyat mereka.
“Lagi ramai yang keluar mengundi, lagi baik kerana ia menunjukkan mandat sebenar rakyat. Kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya perlu mendapat sokongan yang kukuh daripada rakyat,” katanya.
PRN Johor ke-16 dijadualkan berlangsung pada 11 Julai ini, manakala proses pengundian awal telah berlangsung hari ini.
Kehadiran Maszlee dalam sesi dialog berkenaan turut mencuri perhatian apabila beliau berpeluang menyampaikan pandangan mengenai kepentingan politik berteraskan ilmu, keterbukaan dan akauntabiliti kepada pengundi Johor.
