DUN Negeri Sembilan dibubar berkuat kuasa esok, krisis istana berterusan
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi dibubarkan esok untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada sidang media khas di rasmi beliau di Seremban pada jam 11.15 malam.
Beliau berkata pembubaran itu dibuat selepas beliau mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada majlis menghadap yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti hari ini.
“Alhamdulillah malam ini jam 8.30 malam saya telah menghadap DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap dan Tuanku memperkenankan pembubaran DUN mulai esok 5 Jun 2026, hari Jumaat,” katanya.
Pengumuman malam ini dibuat menjelang satu lagi acara yang dikatakan dijadual berlangsung esok pagi.
Krisis istana berterusan
Jemputan yang tersebar mendakwa Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baru berkuat kuasa serta-merta.
Empat Undang Yang Memerintah negeri itu mengumumkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar seterusnya pada April lalu, selepas timbul pertikaian berhubung penyingkiran Mubarak Thahak sebagai Undang Sungai Ujong.
Dipercayai majlis penabalan itu dianjurkan oleh keempat-empat Undang Yang Memerintah bersama Tengku Besar Tampin.
Jika majlis pertabalan itu diteruskan, ia akan menjerumuskan negeri tersebut lebih jauh ke dalam krisis institusi diraja.
