FAM organisasi ‘sakit’ dengan pelbagai kelemahan pentadbiran – AFC
KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) mendedahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebenarnya ‘sakit’ kerana berdepan pelbagai kelemahan sistemik membabitkan tadbir urus, akauntabiliti dan pengurusan organisasi.
Dapatan itu berdasarkan penilaian tahap kematangan keupayaan (CMA) dijalankan AFC, dibentangkan kepada perwakilan dalam Kongres Luar Biasa FAM oleh Timbalan Setiausaha Agung AFC Vahid Kardany yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.
Menerusi slaid pembentangan AFC, badan induk bola sepak negara disifatkan mengalami masalah yang bukan berpunca daripada satu jabatan tertentu, sebaliknya kegagalan berulang merentasi hampir keseluruhan struktur organisasi, lapor Harian Metro.
Laporan itu menyatakan kelemahan FAM bersifat sistemik dengan isu tadbir urus, akauntabiliti dan reka bentuk institusi yang menjejaskan keberkesanan operasi persatuan.
Penilaian AFC menunjukkan kebanyakan jabatan dalam FAM hanya berada pada tahap 2 atau prapertengahan dengan markah antara 1.2 hingga 1.8 daripada skala lima tahap kematangan organisasi.
Antara bahagian dinilai termasuk tadbir urus dan perundangan, pentadbiran dan logistik, kewangan dan pengurusan risiko, infrastruktur dan fasiliti, serta pertandingan, kelab dan pengurusan acara.
Hanya bahagian komunikasi dan media mencapai tahap 3 dengan skor 2.0, sekali gus menjadi satu-satunya unit melepasi kelompok skor jabatan lain.
AFC turut mendapati struktur tadbir urus yang diwujudkan dalam organisasi itu tidak diluluskan atau dikuatkuasakan secara rasmi oleh jawatankuasa eksekutif.
Malah, kuasa membuat keputusan dilihat terlalu tertumpu kepada individu tertentu sehingga mengetepikan mandat formal serta saluran pelaporan yang sepatutnya diamalkan dalam sesebuah organisasi profesional.
Menurut laporan itu, beberapa fungsi kritikal banyak bergantung kepada individu dan bukan sistem yang tersusun sehingga mewujudkan risiko besar kepada kesinambungan operasi.
Selain itu, kebanyakan jabatan didakwa tidak mempunyai pelan perniagaan tahunan, kalendar aktiviti serta laporan prestasi yang lengkap, manakala polisi tertentu pula masih belum diluluskan secara rasmi.
Turut dibangkitkan ialah ketiadaan petunjuk prestasi utama (KPI), kebergantungan kepada segelintir individu dalam menyimpan pengetahuan institusi serta budaya organisasi yang menyebabkan kakitangan kurang berani melaporkan masalah sebelum ia menjadi lebih serius. – MADANI NEWS
