4 beranak ditemui meninggal dunia dalam khemah glamping
HASRAT sebuah keluarga untuk menikmati percutian santai di lokasi glamping bertukar menjadi tragedi apabila empat beranak ditemui meninggal dunia di dalam khemah penginapan mereka di wilayah Kledung, Kabupaten Temanggung, Indonesia.
Mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 52 tahun yang berasal dari Desa Panjang, Kecamatan Ambarawa, Kabupaten Semarang.
Menurut Ketua Polis Temanggung, Iptu I Komang Mahendra Deputra, pihak polis menerima laporan selepas petugas kebersihan gagal mendapatkan sebarang maklum balas daripada penghuni khemah berkenaan ketika proses daftar keluar dijalankan.
“Siasatan awal mendapati keluarga tersebut tiba di lokasi glamping pada Selasa sekitar jam 10 malam untuk bercuti dan berkhemah.
“Pada keesokan harinya sekitar jam 11.45 pagi, petugas meminta mereka melakukan daftar keluar kerana kerja pembersihan kawasan akan dijalankan, namun tiada respons diterima,” katanya.
Beliau berkata, petugas kemudian kembali semula ke khemah sekitar jam 3 petang sebelum membuka pintu khemah tersebut dan menemui kesemua mangsa dalam keadaan tidak bernyawa.
Polis percaya kejadian mungkin berpunca daripada keracunan gas ketika aktiviti barbeku di dalam khemah tertutup.
“Di lokasi, kami menemui peralatan memasak dan gas portable. Kemungkinan selepas BBQ mereka terus tidur tanpa pengudaraan yang baik.
“Khemah jenis glamping yang tertutup boleh menyebabkan gas terkumpul dan mengurangkan aliran udara, sekali gus mengakibatkan keracunan gas,” katanya.
Tambah beliau, mangsa dipercayai tidak menyedari simptom awal seperti sesak nafas dan mengantuk sebelum tidak sedarkan diri.
Kesemua mayat telah dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut. – AGENSI
