KP SPRM baharu akan diumum, kata PM
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata nama ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu akan diumumkan susulan pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.
Anwar berkata, pertemuan itu berlangsung sekitar 8 pagi tadi.
“Nanti saya akan umumkan kemudian (nama ketua Pesuruhjaya SPRM baharu) nanti. Saya sudah mengadakan perbincangan Tuanku (Sultan Ibrahim) tadi,” katanya menurut Kosmo selepas makan tengah hari di Pasar Tani Kekal Permas Jaya, Johor Bahru.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan beberapa pihak lain telah menggesa kerajaan supaya tidak melanjutkan kontrak Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya SPRM susulan dakwaan terhadapnya dalam laporan Bloomberg, pada Februari.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan juga mendedahkan Anwar memberi jaminan kepadanya bahawa kontrak Azam tidak akan disambung.
Kontrak Azam telah dilanjutkan tiga kali sejak beliau memegang jawatan pada Mac 2020, dengan lanjutan setahun diberikan pada Mei 2023, Mei 2024 , dan Mei 2025.
Kontrak semasanya akan tamat pada 12 Mei ini.
Semalam, Sultan Ibrahim bertitah baginda akan menentukan calon terbaik untuk dilantik ketua pesuruhjaya baharu SPRM.
Baginda bertitah pelantikan itu akan dibuat dengan mengambil kira kepentingan institusi berkenaan dalam memastikan usaha membanteras rasuah terus berkesan.
Baginda turut menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara itu. – AGENSI
