Selamat Tinggal Piala Asia 2027, AFC batalkan kemenangan Malaysia dalam 2 perlawanan
IMPIAN Malaysia untuk layak bermain di Piala Asia 2027 sudah tertutup apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima hukuman berat daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) susulan kes menurunkan pemain tidak layak.
Menerusi keputusan yang diumumkan oleh Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC pada Selasa, badan induk bola sepak negara itu didapati melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib & Etika AFC selepas menurunkan pemain tidak layak dalam dua aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
Dua perlawanan yang terlibat ialah ketika Malaysia mengatasi Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac 2025 dan kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun 2025.
Walau bagaimanapun, kedua-dua keputusan tersebut telah dibatalkan apabila AFC memutuskan Malaysia diisytiharkan kalah 3-0 bagi setiap perlawanan mengikut Artikel 25.1 Kod Tatatertib & Etika AFC.
Keputusan ini memberi tamparan hebat kepada kempen kelayakan negara, sekali gus menutup peluang Harimau Malaya untuk layak ke pusingan akhir di Arab Saudi.
Selain kekalahan teknikal tersebut, FAM turut dikenakan denda sebanyak AS$50,000 (RM196,119), menambahkan lagi tekanan terhadap badan induk itu.
Dalam masa sama, FAM memaklumkan akan memohon alasan bertulis daripada pihak AFC sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya, termasuk kemungkinan mengemukakan rayuan.
Dengan situasi semasa yang semakin meruncing, perjalanan Malaysia ke Piala Asia AFC 2027 dianggap sudah tertutup, selepas 6 mata yang diraih oleh pasukan negara kini ditolak.
Kedudukan semasa menyaksikan Malaysia jatuh ke tangga kedua dengan mengumpul 9 mata, manakala Vietnam pula berada di puncak sambil meraih 3 mata untuk mengutip 12 mata.
Harimau Malaya masih berbaki satu perlawanan dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 ini apabila bakal terbang ke Nam Dinh untuk turun menentang Vietnam pada 31 Mac 2025.
