Shukri Ramli umum letak jawatan MB Perlis atas faktor kesihatan
KEMELUT politik Perlis akhirnya mencapai titik kemuncak apabila Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatannya selepas menyembah maklum surat peletakan jawatan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
“Pertamanya nak maklumkan bahawa saya diperkenan mengadap Ke Bawah Duli Tuanku tengah hari tadi dan telah menyatakan hasrat saya meletak jawatan sebagai menteri besar atas faktor kesihatan saya, seperti mana yang kita tahu tak berapa mengizinkan.
“Saya telah menyembah surat peletakan jawatan, jadi sehubungan itu saya nak merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga pentadbiran kerajaan Perlis telah memberi kerjasama yang cukup erat kepada saya dan sahabat dalam pentadbiran,” katanya pada sidang media, sebentar tadi.
Bagaimanapun, Shukri berkata pihaknya masih menunggu jawapan daripada Tuanku Syed Sirajuddin mengenai status jawatannya itu.
“Saya pun tidak pasti setakat ini, sama ada Tuanku menerima perletakan jawatan ini secara terus ataupun ada jawapan bertulis daripada Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku,
“Kita masih lagi menunggu jika sekiranya ada jawapan secara bertulis penerimaan jawapan perletakan jawatan saya pada hari ini, kalau ikut surat saya itu berkuatkuasa hari ini, atau dilantik Menteri Besar baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Kediaman Menteri Besar Perlis, Kangar pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Shukri turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama yang diberikan kepadanya dalam memimpin Kerajaan Negeri Perlis bagi tempoh tiga tahun. – MADANI NEWS
