NJDP MGA tutup tirai 2025 dengan kejayaan berganda pemain elit junior negara
KUALA LUMPUR — Program Pembangunan Golf Junior Negara (NJDP) Persatuan Golf Malaysia (MGA) menutup tirai tahun 2025 dengan pencapaian cemerlang apabila pemain-pemain elit junior negara berjaya meraih kejayaan membanggakan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Di peringkat domestik, Maverick Chua muncul juara Palm Resort Junior Open Golf Championship 2025 selepas mempamerkan aksi konsisten dengan catatan skor 69, 68 dan 75 untuk keseluruhan empat bawah par. Kejayaan itu membuktikan kematangan permainan serta tahap konsistensi tinggi pemain berkenaan.
Dalam kategori wanita, Amalia Lee meraih naib juara bagi kategori Amatur selepas tewas kepada pemain Korea, namun pencapaian tersebut tetap dianggap membanggakan dan mencerminkan daya saing tinggi pemain golf wanita junior negara.
Sementara itu, di pentas antarabangsa, kejayaan turut dilakar apabila Afham Othman dinobatkan sebagai juara Pondok Indah International Junior Golf Championship 2025 yang berlangsung di Kelab Golf Pondok Indah, Indonesia, bagi kategori Boys Under-15. Kejayaan tersebut sekali gus mengesahkan kemampuan pemain junior Malaysia untuk bersaing dan cemerlang di peringkat antarabangsa.
Turut mengharumkan nama negara, Amberly Zaira berjaya menduduki tempat kedua bagi kategori Girls A, satu pencapaian yang memberi isyarat positif terhadap masa depan golf wanita junior Malaysia.
Secara keseluruhan, kejayaan ini dianggap sebagai pencapaian besar buat NJDP MGA dan golf junior negara, hasil komitmen, disiplin serta sokongan berterusan pelbagai pihak dalam pembangunan bakat muda.
Dalam kejohanan yang sama, NJDP MGA turut membawa tiga pemain dari Akademi PKNS sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan berterusan. Penyertaan tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada kejohanan bertaraf antarabangsa, selain membantu pemain menimba pengalaman berharga dari aspek persaingan, kekuatan mental dan pengurusan kejohanan di luar negara.
Langkah berkenaan selaras dengan komitmen NJDP MGA untuk melahirkan lebih ramai pemain junior yang bersedia bersaing di peringkat antarabangsa pada masa hadapan. – MADANI NEWS
