Liyana Durisic pamer aksi cemerlang, mendahului 4 pukulan di The Ladies 2025

PEMAIN profesional negara, Liyana Durisic terus mempamerkan prestasi konsisten apabila mengekalkan kedudukan selaku pendahulu selepas pusingan kedua The Ladies’ Golf Tournament 2025 yang berlangsung di The Mines Resort & Golf Club hari ini.
Pemain berusia 24 tahun itu menamatkan pusingan dengan catatan par 71, menjadikan jumlah keseluruhan dua hari empat di bawah par (138) – sekaligus mengekalkan kelebihan empat pukulan menjelang pusingan akhir esok.
Pemain muda berbakat, Ng Jing Xuen, bangkit cemerlang dengan catatan 69 pukulan, skor terendah hari ini, untuk melonjak ke tempat kedua dengan jumlah 142 pukulan (par) .
Di tempat ketiga pula ialah Jocelyn Chee yang bermain stabil dengan catatan 70 pukulan, menjadikan jumlah keseluruhan dua hari 143 (+1) .
Sementara itu, pemain amatur Amberly Zaira kekal tenang meskipun mencatat 75 pukulan, dan kini berada di tempat keempat dengan 146 (+4). Dua lagi pemain amatur, Charlayne Chong dan Winnie Ng , masing-masing menamatkan hari dengan 74 pukulan, menduduki tempat kelima dan keenam dengan jumlah 149 (+7) dan 150 (+8) .
Pusingan akhir yang akan berlangsung Rabu, 15 Oktober 2025, bakal menyaksikan aksi sengit antara pemain-pemain wanita terbaik negara merebut Piala Ladies’ serta hadiah utama RM17,500 daripada jumlah keseluruhan hadiah RM100,000 yang ditaja oleh Golden Horse Digital Investment Bank .
Kedudukan Selepas Pusingan Kedua
138 – Liyana Durisic
142 – Ng Jing Xuen
143 – Jocelyn Chee
146 – Amberly Zaira (Amatur)
149 – Charlayne Chong (Amatur)
150 – Winnie Ng
151 – Allycia Gan
152 – Nur Husna Aina (Amatur), Zulaikah Nasser, Aretha Pan, Amalia Shahzan
153 – Ainil Bakar, Aishah Alisa
Pusingan akhir akan bermula jam 7.45 pagi di The Mines Resort & Golf Club, diikuti dengan Majlis Penutup Rasmi dan Penyampaian Hadiah pada sebelah petang.
The Ladies’ Golf Tournament 2025 merupakan kejohanan 54 lubang (stroke-play) yang dianjurkan oleh Professional Golf of Malaysia (PGM) dengan pengiktirafan Malaysian Golf Association (MGA) . Kejohanan ini menawarkan hadiah keseluruhan RM100,000, dengan juara membawa pulang RM17,500 .
Matlamat utama penganjuran ini ialah untuk mengangkat sukan golf profesional wanita Malaysia serta menyediakan platform buat bakat muda menyerlah di pentas bertaraf antarabangsa .
The Mines Resort & Golf Club sendiri mempunyai sejarah gemilang sebagai tuan rumah pelbagai kejohanan berprestij dunia termasuk World Cup of Golf 1999 dan Women’s World Cup of Golf 2000, yang pernah menampilkan legenda golf seperti Annika Sörenstam, Se Ri Pak dan Karrie Webb . – MADANI NEWS