Keberanian SPRM siasat orang banyak berjasa harus dipuji - "Firaun pun ada jasa" kata Anwar | Madani News

Keberanian SPRM siasat orang banyak berjasa harus dipuji – “Firaun pun ada jasa” kata Anwar

Keberanian SPRM siasat orang banyak berjasa harus dipuji – “Firaun pun ada jasa” kata Anwar

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tokoh berpengaruh membuktikan undang-undang negara dilaksanakan tanpa memilih bulu.

Beliau memuji keberanian SPRM bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja, termasuk individu yang pernah dianggap banyak berjasa, meskipun berdepan risiko dan tentangan daripada pihak tertentu.

“Tahniah kepada semua, mana pernah dalam sejarah keberanian SPRM untuk bertindak kepada pembesar-pembesar yang paling berpengaruh.

“Kalau jasa seseorang itu dijadikan alasan untuk tidak disiasat, keadilan akan tergugat. Semua orang ada jasa, tukang sapu ada jasa, orang korup pun ada jasa. Firaun pun ada jasa, tapi dengan cara Firaun,” katanya.

Beliay berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 dan Pelancaran Keep Malaysia Clean (KMC) di Puspanitapuri, Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Anwar berkata kerajaan MADANI akan terus memberi sokongan penuh kepada SPRM dalam membanteras rasuah dan penyelewengan. Katanya, tindakan menyeluruh yang kini dilaksanakan SPRM secara teliti dan berani adalah bukti iltizam baharu suruhanjaya itu.

“Negara sehebat mana pun tidak mungkin bertahan kalau ketirisan berlaku atau rasuah menular. Sejarah membuktikan keruntuhan tamadun berpunca daripada kerosakan sistem akibat rasuah,” tegasnya.

Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa jasa atau kedudukan tinggi seseorang tidak boleh dijadikan perisai untuk menghalang siasatan. – MADANI NEWS