FAM akan buat rayuan keputusan FIFA, telah lakukan ketelusan semasa pendaftaran

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima keputusan rasmi Jawatankuasa Disiplin FIFA yang menjatuhkan hukuman ke atas badan induk itu serta tujuh pemain warisan kerana melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pemangku Presiden, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi, FAM menegaskan bahawa pihaknya bersama para pemain terbabit telah bertindak dengan niat baik dan penuh ketelusan sepanjang proses pendaftaran.
“FAM telah menguruskan segala dokumentasi serta prosedur berkaitan secara telus mengikut garis panduan yang ditetapkan. Malah, FIFA sebelum ini telah meneliti kelayakan pemain berkenaan dan memberikan pengesahan rasmi bahawa mereka layak untuk beraksi mewakili Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, FAM memaklumkan bahawa pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan dan menggunakan semua saluran perundangan yang ada demi melindungi kepentingan para pemain serta skuad kebangsaan.
Latar Belakang Kes
Kes ini timbul selepas tujuh pemain – Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano – diturunkan ketika Malaysia menentang Vietnam dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia AFC 2027 di Hanoi pada 10 Jun lalu.
FIFA menerima aduan rasmi berhubung status kelayakan lima daripada pemain tersebut selepas perlawanan, sebelum menjalankan siasatan dan mendapati terdapat dokumen yang dikemukakan tidak tulen.
Susulan itu, Jawatankuasa Disiplin FIFA menjatuhkan hukuman denda CHF350,000 (RM1.9 juta) kepada FAM, manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 selain digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.
Dalam pada itu, FIFA turut merujuk isu kelayakan sebenar pemain berkenaan kepada Tribunal Bola Sepak FIFA untuk penelitian lanjut.
Komitmen FAM
Menurut Datuk Wira Mohd Yusoff, FAM kekal komited mematuhi peraturan antarabangsa, mempertahankan integriti bola sepak negara serta bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia dan pihak berkepentingan bagi memastikan proses pendaftaran pemain dijalankan secara telus, adil dan berlandaskan semangat kesukanan.
“Sebarang perkembangan lanjut mengenai proses rayuan dan langkah susulan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelas beliau.