PM Anwar arah semua lawatan menteri, timbalan ke luar negara dihentikan sementara | Madani News

PM Anwar arah semua lawatan menteri, timbalan ke luar negara dihentikan sementara

PM Anwar arah semua lawatan menteri, timbalan ke luar negara dihentikan sementara

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan semua lawatan menteri dan timbalan menteri ke luar negara dihentikan sementara, bagi memastikan tumpuan penuh diberikan kepada persiapan Belanjawan 2026 dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata arahan yang berkuat kuasa serta-merta itu, bagaimanapun terkecuali bagi mesyuarat berjadual atau perkara yang telah diberi pertimbangan khusus oleh Jemaah Menteri.

“Ini bagi memastikan menteri-menteri memberi fokus dan keutamaan kepada pelaksanaan beberapa program dan juga persiapan menuju Belanjawan 2026, yang akan dibentangkan Perdana Menteri pada 10 Okt dalam masa beberapa minggu lagi.

“Ia juga (bersempena) persiapan menuju sidang kemuncak ASEAN, yang akan berlangsung pada hujung Oktober. Jadi keputusan ini telah dibuat dan akan berkuasa serta-merta,” katanya pada sidang media Pasca-Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini

Belanjawan 2026 bakal dibentangkan Perdana Menteri pada 10 Okt ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berlangsung di ibu negara pada bulan hadapan, dengan beberapa pemimpin besar dijangka hadir termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri China Li Qiang.
— BERNAMA