Elaun ETAP : Langkah bawa ke Kabinet buktikan Dzulkefly tunai janji | Madani News

Elaun ETAP : Langkah bawa ke Kabinet buktikan Dzulkefly tunai janji

Elaun ETAP : Langkah bawa ke Kabinet buktikan Dzulkefly tunai janji

ANALISIS

PADA 4 September lalu apabila Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh membangkitkan soalan apakah benar doktor dalam perkhidmatan awam tidak akan menerima kenaikan elaun on-call – atau Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) – yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 ramai memandang sinis kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Walaupun menerima kritikan yang agak keras namun Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad tidak melatah, beliau tenang menganalisis suasana sebelum memberi jawapan balas terhadap dakwaan itu sehari selepas itu.

Kata beliau, KKM akan membentangkan semakan kenaikan kadar elaun itu kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan agar pelaksanaannya dapat direalisasikan pada 2026.

Beliau juga memberi jaminan bahawa penambaikan seperti itu akan terus diusahakan secara berkala mengikut keadaan semasa.

“KKM sentiasa berusaha untuk menambah baik pemberian insentif serta kebajikan kakitangan dan petugas kesihatan dengan menjalankan pelbagai kajian elaun dan kemudahan termasuk kenaikan kadar ETAP,” menurutnya dalam kenyataan.

Sememangnya soal kebajikan kakitangan dan petugas kebajikan sentiasa menjadi keutamaan KKM khususnya oleh Dzukefly tetapi ramai yang tidak tahu sepanjang menerajui Kementerian itu Ahli Parlimen Kuala Selangor itu tidak pernah meminggirkan kebajikan warga kerja KKM dan sentiasa memperjuangkan hak mereka termasuk isu kenaikan elaun.

Sama ada orang ramai tahu atau tidak, Dzulkefly adalah orang yang bertanggungjawab memperjuangkan kenaikan ETAP itu sehinggalah ia akan dibawa ke Kabinet untuk kelulusan. 

“Cuma untuk mengumumkan jumlahnya itu, saya diminta untuk tunggu tentang pengumuman itu dan saya kata biar mereka umumkan. Itu sangat penting, itu perjuangan yang saya telah perjuangkan dan begitu juga hal-hal lain yang lain terkait dengan perkara-perkara yang dibangkitkan,” kata Dzulkefly ketika isu elaun mula-mula diperkatakan pada April lalu.

Atas sebab itulah baru-baru ini walaupun dikritik berikutan kontroversi jamuan Aidilfitri yang menjemput penyanyi Jamal Abdillah dan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dzulkefly tidak kisah. Pertamanya, persembahan kedua-dua adalah percuma tiada bayaran dikenakan dan yang kedua majlis itu adalah bagi menghargai petugas kesihatan yang sentiasa menjadi keutamaan kementerian itu..

Penulis mengimbas kembali majlis berkenaan adalah bagi membuktikan bukan kata soal elaun malah soal-soal untuk menghargai sertai meraikan kakitangan dan pegawai perubatan pun sentiasa diberi perhatian oleh Dzulkefly.

Seperkara lagi penulis rasa tidak adil, kalau kita hanya berbahas soal kenaikan elaun ETAP sahaja sedangkan petugas Kesihatan menerima pelbagai elaun lain yang selama ini mungkin tidak diketahui orang awam.

Antaranya, Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, Bayaran Insentif Pakar, Elaun Bertugas Selepas Waktu Pejabat di Klinik Kesihatan dan Klinik Rawatan Pesakit di Jabatan Kecemasan Hospital (Elaun Locum), Elaun Pembedahan Elektif serta yang terkini, Bayaran Insentif Pakar Pra Warta (BIPPW).

Dzulkefly berkata, secara umumnya, warga kerja lantikan tetap merentas skim perkhidmatan di KKM termasuk di Sabah dan Sarawak menerima pelbagai jenis elaun dan insentif mengikut kelayakan berdasarkan peraturan semasa yang berkuat kuasa.

Antaranya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara, Bayaran Insentif Penempatan Pakar Perubatan dan Pakar Pergigian di fasiliti kesihatan di Sabah, Sarawak dan Labuan, Elaun Pentadbiran Hospital, Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan, Bayaran Insentif Pedalaman serta Elaun Balik Kampung.

Turut diterima Imbuhan Tetap Perumahan, Bayaran Imbuhan Sara Hidup, Imbuhan Tetap Khidmat Awam, Imbuhan Tetap Keraian, Bayaran Imbuhan Perumahan Wilayah, Bayaran Imbuhan Wilayah, Tambang Ziarah Wilayah, Elaun Waktu Bekerja Fleksi bagi pegawai perubatan siswazah serta perkhidmatan sessional pakar perubatan swasta di hospital KKM. 

Demikianlah senarai panjang elaun dan imbuhan yang diterima oleh petugas Kesihatan. Justeru adalah diharapkan selepas ini jika tercetus elaun melibatkan kumpulan tersebut janganlah ada pihak yang cepat melatah atau cepat sangat membuat kesimpulan.

Ia memandangkan sepanjang menjadi Menteri Kesihatan sama ada kali pertama  dari Mei 2018 hingga Februari 2020 dan kini kali kedua mulai Disember 2023 hingga kini, kebajikan petugas Kesihatan sentiasa menjadi keutaman Dzulkefly.

Kesimpulannya, berilah ruang kepada beliau untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan sebaik-baiknya, elaun ETAP membuktikan pemegang ijazah Falsafah Kedoktoran, dalam bidang Toksikologi dari Imperial College, St. Mary’s Hospital Medical School, Universiti London UK pada tahun 1993 itu bukannya hanya bijak menabur janji.