Allianz rai media dengan kejohanan golf tahunan, wakil Al Jazeera muncul juara

ALLIANZ Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) meneruskan tradisi menganjurkan kejohanan tahunan Allianz Golf with Media Tournament, edisi ke-11, yang berlangsung di Saujana Golf and Country Club (SGCC), semalam.
Sebagai antara kejohanan golf bersama media yang masih bertahan sehingga kini, acara ini terus mendapat sambutan hangat dan menjadi wadah menghargai para pengamal media dengan semangat persahabatan serta persaingan sihat.
Tahun ini, seramai 66 peserta terdiri daripada pemain golf media tempatan serta pengurusan kanan dan kakitangan Allianz Malaysia turut serta.

Dalam pertandingan kali ini, Bayu Adhi Cahyono (gambar) dari Al Jazeera muncul juara dengan catatan 38 mata, sekali gus membawa pulang hadiah utama berupa satu set penuh kayu golf Wilson Prostaff SGI bernilai RM2,000.
Tempat kedua disandang Redzal Ghazali dari Sinar Harian dengan jumlah mata sama (38), namun tewas menerusi kiraan countback. Beliau menerima hadiah sebuah beg golf TaylorMade Auth-Tech bernilai RM1,500.
Andrew Ng dari Golf Malaysia pula menduduki tempat ketiga dengan 37 mata, membawa pulang hadiah sebuah beg perjalanan Cutter & Buck bernilai RM500. – MADANI NEWS