Pegawai JAIS mengaku tidak salah atas tuduhan terima rasuah

Didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menerima RM8,000 daripada pemilik sebuah syarikat sebagai dorongan untuk membantu mengurangkan kompaun berkaitan sijil halal.
SEORANG pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkaitan rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Amir Zubir didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menerima RM8,000 daripada pemilik sebuah syarikat sebagai dorongan untuk membantu mengurangkan kompaun berkaitan sijil halal.
Menurut pihak pendakwaan, jumlah itu dimasukkan ke akaun bank Amir pada 18 Jan 2023.
Dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000, jika sabit kesalahan, lapor FMT.
Amir turut berdepan satu pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima barang berharga RM8,000 daripada individu sama tanpa pertimbangan wajar.
Dia berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Nasir Nordin membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya sementara menunggu kes selesai.
Amir turut diarah melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali. Pengurusan kes ditetapkan pada 24 Sept ini.