Tender rundingan terus penjenamaan semula TH bercanggah komitmen PM – kata Ahli Parlimen Pas | Madani News

Tender rundingan terus penjenamaan semula TH bercanggah komitmen PM – kata Ahli Parlimen Pas

Tender rundingan terus penjenamaan semula TH bercanggah komitmen PM – kata Ahli Parlimen Pas
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaari

 WALAUPUN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tiada perolehan kerajaan melalui tender rundingan terus, namun berlaku sebaliknya dalam penjenamaan semula (rebranding) Tabung Haji (TH).

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaari (PN-Pengkalan Chepa) berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Dewan Rakyat hari ini merungkai masalah berbangkit.

“Hari ini saya rasa lega apabila menteri mengesahkan apa yang saya bertanya beberapa hari lalu sehingga menteri tidak menjawab secara tepat soal projek dianugerahkan ini tender runding terus, terpilih atau terbuka.

“Hari ini menteri mengesahkan memang ini adalah projek tender runding terus, bahkan Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan media mengumumkan tiada lagi tender secara runding terus di bawah Kerajaan Madani,” katanya lapor harakahdaily.net

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada menteri dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri dalam Persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Kemudian Ahmad Marzuk mempertikaikan ‘keperluan khusus’ memilih syarikat bukan Islam bagi melaksanakan penjenamaan tersebut, mempunyai kepakaran yang tidak dimiliki syarikat milikan orang Islam lain.

“Ucapan panjang lebar tadi, sekiranya ada keperluan khusus kepakaran yang tak boleh dijumpai, maka dipilih secara rundingan terus melalui kebenaran disebutkan oleh menteri tadi, bagi ‘rebranding’ imej entiti Islam ini.

“Apakah ini keperluan khusus yang tidak dapat diperolehi daripada mana-mana syarikat Islam yang lain, sedangkan dalam negara kita ini ada berpuluh-puluh syarikat Muslim boleh buat kerja-kerja ‘rebanding’ ini,” katanya.

Mohd Na’im dalam jawapannya berkata, TH menerima kelulusan dari Kementerian Kewangan untuk dikecualikan daripada proses perolehan kerajaan dan kuasa melantik diberikan Ahli Lembaga Pengarah TH.

Bagaimanapun beliau berkata, di bawah pentadbiran baharu sekarang ini, pihaknya mula mengambil langkah untuk mengurangkan perolehan kerajaan melalui tender rundingan terus yang mula dilaksanakan sejak tahun 2022.

“Mengenai 81 peratus kaedah yang dilaksanakan oleh TH adalah melibatkan tender terbuka, cuma kalau kita lihat, hasrat TH memastikan supaya amalan rundingan terus ini dapat dikurangkan setiap tahun.

“Tahun 2022 daripada 16 peratus kemudian tahun 2024 diturunkan kepada 15 peratus kepada 12 peratus, jadi ada usaha kita memastikan supaya rundingan terus ini dikurangkan secara keseluruhan,” katanya.

Dalam soalan asal Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu meminta kerajaan menjelaskan amalan perolehan secara rundingan terus masih diamalkan oleh TH, satu badan berkanun di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri.