Penjawat awam yang mahu belajar, tidak sombong


DALAM kesibukan saya dengan urusan perniagaan dan keluarga kebelakangan ini, jarang sekali saya nak melayan mesej dalam media sosial. Bagaimanapun satu mesej yang diterima daripada seorang penjawat awam yang bertugas di Labuan agak menyentuh perasaan saya.
“Assalamualaikum che Nordin. Apa khabar? Dah setahun saya kenal che Nordin. Banyak saya belajar daripada che Nordin. Terima kasih untuk pengalaman dan tunjuk ajar”
Mesej tersebut disertakan dengan screenshot buku saya, Pulau Tiga: Khazanah Melayu Perak yang saya hadiahkan kepada beliau beberapa minggu lalu. Saya turut menitipkan kata-kata semangat dan inspirasi kepada beliau dalam buku itu.
Bagi saya, beliau menunjukkan teladan yang baik sebagai penjawat awam yang respon dengan masyarakat dan berkhidmat dengan menyelami hati nurani masyarakat.
Saya mengenali beliau ketika melaksanakan tanggungjawab sebagai rakan strategik agensi kerajaan bagi membangunkan golongan miskin tegar di Labuan sejak awal tahun 2024. Beliau seorang anak muda yang lemah-lembut, suka bertukar pandangan dan sesekali tegas dalam melaksanakan tugas.

Kesempatan bersama saya diisi dengan perkongsian pengalaman saya terutama dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat. Pada mulanya hanyalah biasa-biasa sahaja. Bagaimanapun apabila beliau melihat kejayaan saya membangunkan golongan miskin tegar dengan begitu pantas, perbincangan kami menjadi semakin meluas.
Beliau berminat mahu belajar resepi kejayaan saya di seluruh negara. Kalau tidak silap saya, beliau adalah anak Sarawak yang pastinya teruja dengan pelbagai pengalaman saya memajukan masyarakat Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Labuan dalam tempoh lebih 20 tahun lalu.
Pernah satu ketika, beliau dapat belajar cara saya bekerja sebagai rakan strategik kerajaan yang memerlukan saya mempunyai idea. Apabila idea itu menjadi dasar kerajaan, saya perlu bersama jentera kerajaan melaksanakannya dan harus berdaya tahan serta mempunyai penilaian tersendiri secara serentak dalam tempoh jangka pendek, sederhana dan jangka panjang.
Paling menarik beliau juga ialah istiqomah saya untuk bersabar dan konsisten sepanjang masa walaupun apa jua cabarannya.

Saya berbangga dapat melihat seorang penjawat awam muda seperti ini yang rajin membaca seperti buku saya (menceritakan usaha membangunkan sebuah kampung bersama kerajaan) dan tidak sombong untuk menimba pengalaman serta melihat kelebihan orang lain sebagai inspirasi dan aspirasi untuk berkhidmat kepada negara.
Mesej beliau telah memberi inspirasi kepada saya untuk meneruskan usaha di Labuan dengan cara tersendiri, walaupun kontrak sudah tamat. Setidak-tidaknya, mesej beliau telah membuktikan bahawa saya telah melakukan kerja yang tepat dan berkesan, bukan sahaja kepada golongan miskin tegar tetapi juga kepada penjawat awam dan masyarakat Labuan.
Saya tidak perlu mendabik dada dalam hal ini kerana segalanya adalah ketentuan Ilahi. Saya pernah berkhidmat dengan kerajaan selama dua tahun sahaja (sekadar memenuhi syarat tajaan pengajian yang sepatutnya 5 tahun). Jujurnya saya lari awal (meletak jawatan) kerana ada perkara yang tidak sesuai dengan jiwa saya yang agresif, progresif serta dinamik. Namun begitu, mesej ini meyakinkan diri saya bahawa saya juga berkhidmat kepada negara sepertimana penjawat awam tetapi di luar struktur organisasi awam.
Benarlah gurauan Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa, bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) suatu ketika dulu, semasa saya aktif menonjolkan kejayaan menjadi rakan strategik kerajaan membangunkan pelbagai dasar sosio-ekonomi bahawa mungkin saya berpotensi untuk menjadi ketua setiausaha kementerian yang paling muda, jika saya menyertai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) pada awal kerjaya saya.
WallahuAlam.
- Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi