Amalan pengajaran adaptif pacu pendidik hadapi Era Industri 5.0 – Timbalan Menteri

KEBERKESANAN amalan pengajaran adaptif dan reflektif menjadi faktor utama dalam melahirkan pendidik masa depan yang bersedia mengemudi cabaran Era Industri 5.0.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, landskap pendidikan hari ini menuntut guru bukan sahaja menguasai kandungan akademik tetapi juga berupaya mengintegrasikan teknologi pintar, pemikiran reka bentuk dan empati kemanusiaan dalam pendekatan bilik darjah.
“Kita tidak lagi bercakap tentang pengajaran konvensional semata-mata. Hari ini, kita bercakap tentang pengajaran yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan, teknologi pintar dan pendekatan yang memanusiakan pendidikan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan 1st International Teaching Practice Symposium (ITPS) 2025 di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, semalam.
Simposium bertemakan “Memperkasakan Pendidik Masa Depan dalam Era Industri 5.0” itu menghimpunkan lebih 30 pembentangan kertas kerja daripada ahli akademik, penggubal dasar, pengamal pendidikan dan wakil industri dari pelbagai negara, khususnya rantau ASEAN.
Wong berkata, guru masa kini perlu mempunyai kebolehan menyesuaikan pendekatan pedagogi secara fleksibel, berkemahiran dalam teknologi digital, serta prihatin terhadap kesejahteraan pelajar selain mampu memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat.
“Amalan pengajaran yang berkesan perlu berasaskan bukti, dipacu data dan sentiasa terbuka kepada penambahbaikan. Guru pelatih perlu dididik untuk menilai keberkesanan amalan mereka dan membina jaringan profesional yang kukuh.
“Saya percaya ITPS 2025 menjadi bukti bahawa universiti pendidikan tempatan mampu memimpin inovasi pendidikan bertaraf antarabangsa,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah, Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PULAMI) UPSI, Prof Madya Dr Ashardi Abas berkata, latihan mengajar kini bukan lagi sekadar keperluan kurikulum tetapi menjadi penentu utama kepada kesediaan guru berhadapan dengan realiti pendidikan global.
“Guru praperkhidmatan hari ini berhadapan bilik darjah yang pelbagai budaya dan bahasa, gangguan teknologi seperti AI dan realiti maya, serta krisis kesihatan mental dalam kalangan pelajar yang memerlukan empati dan intervensi masa nyata.
Beliau berkata, dilema menyeimbangkan antara penyeragaman dan keperluan pemperibadian turut menjadi cabaran semasa, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh ASEAN dan peringkat global.
Beliau turut menyarankan agar masa depan latihan guru di Malaysia ditumpukan kepada pengukuhan hubungan antara latihan universiti dan realiti sekolah dengan mengintegrasikan kemahiran digital, pedagogi kritikal dan pendidikan inklusif dalam setiap praktikum.
“Di peringkat serantau, kita perlu membayangkan pertukaran praktikum rentas sempadan, dan pada skala global pula, guru perlu dilatih untuk memimpin bilik darjah yang mencerminkan kompleksiti dunia,” katanya. – MADANI NEWS