Pertandingan tidak berlaku atas padang sama rata, segalanya disusun untuk memenangkan anak Presiden – Rafizi

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli mendakwa pemilihan jawatan timbalan presiden PKR kali ini berlangsung dalam suasana yang tidak adil, menyifatkannya sebagai “pertandingan atas padang tak sama rata”.
Rafizi yang juga penyandang jawatan tersebut berkata, pertembungannya dengan Nurul Izzah Anwar berlaku dalam keadaan segala-galanya telah disusun bagi memastikan kemenangan anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
“Isyarat itu telah jelas, keseluruhan parti telah digerakkan agar saya kalah dengan Nurul Izzah… memang jelaslah, tak ada masalah,” katanya semasa siri ceramah jelajah Hiruk di Sarawak malam tadi, memetik Malaysiakini.
Beliau menegaskan penyertaannya dalam pemilihan kali ini bukan untuk meraih simpati, sebaliknya atas prinsip perjuangan meskipun sedar peluang untuk menang amat tipis.
“Saya datang (ke Sarawak) bukan nak kata tolonglah bagi saya menang, itu hak masing-masing. Saya masuk (pemilihan) saya menerima hakikat kalau saya menang, dunia akan kiamat.
“Gila ke apa kau menang… dalam keadaan segala-galanya telah disusun,” sindirnya.
Rafizi turut menyifatkan keputusannya bertanding sebagai langkah “berani mati”, dengan menyedari bahawa majoriti pimpinan parti secara terbuka menyokong Nurul Izzah.
Menurutnya, kenyataan-kenyataan tersebut bertujuan untuk melemahkan semangatnya agar menarik diri, namun beliau enggan memberikan kemenangan percuma kepada lawannya.
“Saya tahu masuk pertandingan ini berani mati. Tak ubah macam saudara-saudari dekat Sarawak. Masuk bertanding, menang belum tentu, kalah confirm,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi sekiranya gagal mempertahankan kedudukan dalam parti, malah mengakui akan lebih bebas bersuara jika tidak lagi memegang jawatan kabinet.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews