5 ketua cabang PKR Melaka sokong Nurul Izzah bertanding Timbalan Presiden | Madani News

5 ketua cabang PKR Melaka sokong Nurul Izzah bertanding Timbalan Presiden

5 ketua cabang PKR Melaka sokong Nurul Izzah bertanding Timbalan Presiden
Nurul Izzah Anwar

MELAKA – Lima ketua cabang PKR di Melaka menyatakan sokongan terbuka dan keyakinan penuh kepada anak Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden Parti PKR Rakyat bagi sesi 2025 hingga 2028.

Mereka ialah Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin (Hang Tuah Jaya), Mohd. Khuzairi Mohd. Kamal Kannan (Alor Gajah), Azlan Osman (Tangga Batu), R. Jagatheason (Jasin) dan Md. Yusoff Ahmad (Kota Melaka).

Mereka berkata, Nurul Izzah bukanlah nama asing dalam gerakan reformasi dan perjuangan PKR.

“Sejak awal, beliau telah menunjukkan keteguhan prinsip, keberanian bersuara, serta komitmen tanpa lelah dalam memperjuangkan agenda keadilan sosial, hak asasi manusia dan reformasi institusi.

“Pengalaman beliau sebagai bekas Naib Presiden parti, Ahli Parlimen dua penggal, dan aktivis masyarakat sehingga baru baru ini disenaraikan antara 30 individu berpengaruh dalam ‘Project Syndicate Forward Thinkers List’ tentunya memberikan kekuatan dan kredibiliti untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan parti,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Mereka menambah, pencalonan beliau bukan soal personaliti semata-mata atau pertimbangan warisan, tetapi soal masa depan PKR sebagai sebuah parti politik progresif yang kekal diyakini rakyat.

“Dalam dunia politik yang dinamik, kita memerlukan pemimpin yang menjadi jambatan antara generasi pengasas dan generasi baharu – seorang pemimpin yang membawa nilai kesederhanaan, berprinsip, progresif dan berwawasan.

“Kami yakin Nurul Izzah mempunyai segala ciri kepimpinan tersebut. Beliau mampu menyuntik nafas baharu dalam PKR, memperkukuh sinergi bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, dan terus membawa obor perjuangan ke arah sebuah negara yang lebih adil, stabil dan inklusif,” jelas mereka.

Mereka berharap pencalonan itu mendapat sokongan padu daripada seluruh ahli PKR dan menjadi titik tolak kepada kebangkitan baharu parti dalam mendepani cabaran semasa serta masa depan negara. – MADANI NEWS