Penghantar makanan hina kaum lain wajar dikenakan tindakan undang-undang - Aaron | Madani News

Penghantar makanan hina kaum lain wajar dikenakan tindakan undang-undang – Aaron

Penghantar makanan hina kaum lain wajar dikenakan tindakan undang-undang – Aaron
Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang kecewa dengan insiden melibatkan seorang guru di Pulau Pinang yang menerima mesej berunsur penghinaan dan bersifat perkauman daripada seorang penghantar makanan melalui sebuah aplikasi penghantaran makanan.

Beliau berkata, kementeriannya memandang serius insiden tersebut kerana ia bukan sahaja mencemar nilai kesopanan dan kesusilaan masyarakat kita, malah menggugat keharmonian antara kaum.

“Tindakan seperti ini tidak boleh diterima sama sekali dan wajar dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Aaron menggesa syarikat penghantaran terbabit mengambil tindakan disiplin tegas terhadap individu yang terlibat serta memperketat garis panduan tatakelakuan pekerjanya.

Beliau menambah, kementeriannya juga ingin menyeru semua rakyat agar sentiasa memupuk sikap saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.

“Tidak ada tempat dalam negara ini untuk sebarang bentuk diskriminasi, kebencian atau perkauman,” tegasnya.

Aaron percaya bahawa insiden ini adalah tindakan individu dan bukan gambaran masyarakat secara keseluruhan.

“Namun, kita semua bertanggungjawab untuk membina negara yang lebih inklusif, aman dan bersatu,” katanya. – MADANI NEWS