PRK Ayer Kuning: Veteran UMNO yakin BN menang selesa

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO optimis bahawa calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mampu meraih kemenangan selesa berdasarkan gerak kerja tersusun yang telah dirancang.
Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya bersama Veteran UMNO Perak dan Veteran UMNO Bahagian Tapah telah mengadakan perbincangan pada 9 Mac lalu bagi menyusun strategi kempen membantu calon UMNO/BN sepanjang tempoh berkempen dari 12 hingga 23 April ini.
Menurut beliau, fokus utama gerak kerja tersebut adalah untuk memastikan 6,561 pengundi veteran serta keluarga mereka memberikan sokongan penuh kepada BN melalui kempen bertemakan “Keluargaku Pengundi BN”.
“Bagi memastikan kemenangan, sebanyak 40 program santai akan diadakan di semua 20 pusat daerah mengundi (PDM) yang merangkumi 65 cawangan UMNO dalam DUN Ayer Kuning,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, berdasarkan rekod terdahulu, Veteran UMNO yakin calon BN bukan sahaja mampu menang selesa, malah berpotensi mengulangi kejayaan PRK DUN Nenggiri dan DUN Mahkota.
“Dengan kerjasama dan bantuan Pakatan Harapan (PH) yang pernah memperoleh lebih 6,000 undi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, BN dijangka mampu meraih majoriti lebih besar,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berharap tiada sebarang isu mengenai calon yang bakal dipilih oleh Presiden UMNO nanti dan menegaskan bahawa keputusan tersebut perlu diterima serta disokong sepenuhnya oleh kepimpinan bahagian, cawangan serta seluruh ahli parti.
“Kita perlukan calon yang boleh diterima rakyat dan pengundi, bukan sekadar calon popular dalam kalangan ahli UMNO. Kita perlukan calon ‘WALI’,” katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan peranan jentera PH dalam memastikan sokongan daripada 6,747 pengundi Cina dan 4,609 pengundi India kepada calon BN.
“Pemimpin masyarakat Orang Asli juga perlu turun padang bagi mendapatkan sokongan 2,156 pengundi daripada kaum mereka,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan pada 26 April 2025 berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April. – MADANI NEWS