Keputusan kes video sumbang Aliff Syukri Jumaat ini

MAHKAMAH Sesyen di Sepang menangguhkan tarikh keputusan kes membabitkan usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang menghadapi empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang, kepada 14 Mac.
Hakim Ahmad Fuad Othman menetapkan tarikh itu pada prosiding hari ini, yang sebelum ini ditetapkan bagi keputusan pada akhir kes pendakwaan terhadap usahawan berkenaan.
Aliff Syukri diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, Mohd Radzlan Jalaludin dan Hasshahari Johari Mawi, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Faten Hadni Khairuddin, lapor Bernama.com.
Pada 13 Okt 2022, Aliff Syukri, 38, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews