Lori dipandu warga asing rempuh 14 kenderaan

PENAMPANG – Sebanyak 14 kenderaan rosak selepas dirempuh sebuah lori dalam kejadian di Jalan Duvanson, di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tansau, Putatan di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 11.20 pagi dan melibatkan 11 kereta, dua kenderaan pacuan empat roda serta sebuah motosikal.
“Hasil siasatan awal mendapati pemandu lori berusia 56 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan yang diletakkan di kiri dan kanan jalan serta di bahu jalan berhampiran sekolah.
“Salah seorang pemandu kenderaan yang terlibat mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Menurut Sammy, pemandu lori yang merupakan warga asing telah ditahan untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau meminta saksi kejadian tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Azmi Adamb di talian 012-8434330.
Pada masa sama, Sammy menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu serta tidak menularkan sebarang imej atau rakaman video kejadian di media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa. – MADANI NEWS