Pemilihan CEC DAP: 2 pemimpin kanan tidak pertahan jawatan

KUALA LUMPUR – Penasihat Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai dan Bendahari Kebangsaan DAP, Fong Kui Lun mengumumkan bahawa mereka tidak akan bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Kongres Kebangsaan Parti ke-18 yang dijadualkan berlangsung pada 16 Mac depan.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pemimpin veteran itu menjelaskan keputusan mereka dibuat atas empat sebab utama.
Menurut mereka, sepanjang lebih lima dekad dalam DAP, mereka telah menyaksikan perjalanan parti itu daripada menjadi pembangkang yang lama kepada sebuah parti utama dalam kerajaan perpaduan hari ini.
Oleh itu, mereka merasakan sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada generasi baharu mengambil alih kepimpinan parti.
“Kami yakin dengan barisan kepimpinan utama DAP yang ada hari ini. Pendekatan strategik mereka dalam membangunkan parti serta persiapan menghadapi pilihan raya membuktikan kewibawaan mereka dalam memastikan kesinambungan kepimpinan yang mantap.
“Lanskap politik yang sentiasa berubah juga memerlukan pendekatan kepimpinan yang dinamik dan progresif. Kepimpinan DAP hari ini berjaya merapatkan jurang antara generasi lama dan baharu serta membawa pembaharuan yang selari dengan perkembangan politik semasa,” jelas kenyataan itu.
Kok Wai dan Kui Lun menambah, perjuangan mereka selama ini adalah untuk memastikan demokrasi terus subur di Malaysia serta merealisasikan visi sebuah negara yang adil dan saksama.
“Kami berterima kasih kepada semua rakan seperjuangan yang telah berkorban demi DAP. Ada yang berkhidmat sebagai wakil rakyat, tetapi ramai lagi yang berjuang di sebalik tabir tanpa mengharapkan penghargaan.
“DAP berada pada kedudukannya hari ini hasil usaha semua pihak. Parti ini milik kita bersama dan kejayaannya adalah kebanggaan kita semua,” jelas mereka..
Mereka juga menyatakan akan terus menyokong perjuangan parti dan kepimpinan sedia ada dalam usaha memperkukuh kedudukan DAP di persada politik tanah air. – MADANI NEWS