JAKIM panggil pihak berkaitan isu lelaki Muslim berpakaian seperti wanita | Madani News

JAKIM panggil pihak berkaitan isu lelaki Muslim berpakaian seperti wanita

JAKIM panggil pihak berkaitan isu lelaki Muslim berpakaian seperti wanita
Dua lelaki yang berpakaian seperti wanita ketika menghadiri program hiburan di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup berhubung isu lelaki Muslim berpakaian menyerupai wanita dalam sebuah acara hiburan yang berlangsung semalam.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya mengambil serius perkara itu kerana ia menimbulkan keresahan dan menyentuh sensitiviti agama serta budaya di Malaysia.

“JAKIM telah menghubungi dan memanjangkan perkara ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertanggungjawab mengawal selia industri komunikasi serta multimedia mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, semua pihak perlu lebih peka dan menghormati nilai-nilai serta sensitiviti agama di negara ini.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan diharapkan agar ia tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.

Menurut beliau, Islam adalah agama rahmah yang mengiktiraf keperluan hiburan sebagai satu elemen kegembiraan dan kesejahteraan, namun ia perlu berlandaskan akidah, syariah serta akhlak Islam.