Terbaik… N. Sembilan 'haramkan' pekerja asing berniaga di bazar Ramadan | Madani News

Terbaik… N. Sembilan ‘haramkan’ pekerja asing berniaga di bazar Ramadan

Terbaik… N. Sembilan ‘haramkan’ pekerja asing berniaga di bazar Ramadan

KEBANJIRAN warga asing yang membuka gerai atau warung di merata-rata tempat di negara ini, termasuk di bazar Ramadan semakin membimbangkan kerana mereka kini bukan sahaja menutup peluang anak tempatan bekerja tetapi juga berniaga.

Bagaimanapun, kerajaan Negeri Sembilan menyedari mengenai perkara tersebut dan tidak membenarkan ia berlaku pada musim perayaan kali ini dengan memberi amaran akan mengambil tindakan keras jika terdapat peniaga tempatan mengambil pekerja warga asing atau ‘membenarkan’ mereka berniaga menggunakan lesen perniagaan mereka.

“Ramadan ini akan senarai hitam pemegang lesen bazar Ramadan yang menggunakan pekerja asing atau membenarkan mereka berniaga,” kata seorang pemimpin negeri ini.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J Arul Kumar, berkata pihaknya juga tidak teragak-agak melakukan sitaan serta merta barangan jualan, andai syarat itu tidak dipenuhi.

“Syarat berkenaan mesti dipatuhi dan tidak ada warga asing sebagai pekerja atau peniaga di mana-mana bazar Ramadan. Jika ada, saya akan meminta pihak PBT mengambil tindakan segera termasuk menyita semua barangan.

“Penganjur juga akan disenarai hitam dan tidak lagi boleh memohon untuk menganjurkan mana-mana bazar Ramadan pada tahun-tahun akan datang,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Arul berkata demikian sebagai maklum balas kepada tindakan beberapa penganjur pada tahun lalu membenarkan warga asing berniaga di bazar Ramadan.

Dalam pada itu, beliau berkata bazar Ramadan adalah diwujudkan bagi menjana pendapatan tambahan, bukannya dijadikan ‘untung atas angin’, dengan menyewa tapak kepada pihak lain.

“Sesiapa yang mohon gerai di bazar Ramadan sahaja boleh berniaga di sana berdasarkan kepada permohonan lesen PBT yang diterima.

“Jangan pandai-pandai mohon dengan penganjur dan selepas itu jual tapak itu dengan harga yang lebih tinggi,” katanya. – MADANINEWS