Perkayatim serah dana kepada Sadaqa House, tamatkan operasi pertubuhan
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim (Perkayatim) menyerahkan baki dana pertubuhan kepada Sadaqa House di bawah Bank Islam selepas mengambil keputusan menamatkan operasi pertubuhan itu.
Penyerahan tersebut menandakan berakhirnya perjalanan Perkayatim yang telah lebih tiga dekad memainkan peranan dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan serta membantu golongan anak yatim.
Bagaimanapun, selepas mengambil kira beberapa kekangan yang dihadapi, Perkayatim memutuskan untuk menghentikan operasinya dan perkara itu turut dimaklumkan secara rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Keputusan berkenaan dibuat bagi memastikan segala urusan pertubuhan diselesaikan secara teratur, telus dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Susulan itu, baki dana yang masih dimiliki Perkayatim diserahkan kepada Sadaqa House di bawah Bank Islam untuk dimanfaatkan bagi meneruskan usaha kebajikan dan membantu golongan yang memerlukan.
Walaupun Perkayatim kini menutup lembaran perjuangannya, semangat serta usaha murni yang dibawa selama lebih 30 tahun diharap terus diteruskan melalui saluran kebajikan yang lebih tersusun dan beramanah. – MADANI NEWS
