Kejohanan PNAGS 2026 jelajah 14 negeri, peluang pemain amatur ke pentas dunia
PERODUA National Amateur Golf Series (PNAGS) 2026 dirasmikan di Templer Park Country and Golf Club, Rawang hari ini, menandakan bermulanya satu lagi kalendar penting sukan golf amatur negara.
Memasuki edisi keenam penganjuran, kejohanan ini akan menjelajah ke 14 negeri di seluruh Malaysia sebelum menghimpunkan juara-juara terbaik ke pusingan akhir kebangsaan.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi Visit Malaysia 2026, sekali gus menyokong usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa.
Lebih daripada sekadar platform pertandingan, PNAGS 2026 dilihat sebagai medan strategik untuk memperkasa komuniti golf amatur tempatan di samping merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi domestik.

Lima pemenang terbaik di peringkat akhir kebangsaan akan menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa apabila mewakili Malaysia pada World Amateur Golfers Championship (WAGC) yang dijadual berlangsung di Desaru Coast, Johor, pada Oktober ini.
Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, penganjuran kejohanan itu diyakini mampu menyatukan elemen sukan, pelancongan dan semangat kebangsaan dalam usaha mengangkat nama Malaysia di persada dunia.
“Setiap 45 negara yang bertanding akan menghantar sekitar lima peserta. Jadi penganjuran ini akan mendatangkan faedah kepada negara dan kami berpuas hati,” katanya.
Presiden WAGC, Isac Saminathan pula menjelaskan bahawa 14 pusingan kelayakan akan dianjurkan, dengan setiap negeri menjadi tuan rumah satu pusingan bagi memilih lima pemain terbaik untuk ke pusingan akhir di Templer Park.
“Daripada pusingan akhir itu, lima pemain terbaik akan dipilih untuk mewakili negara di Desaru,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, walaupun terdapat ramai pemain muda berbakat, kejohanan ini hanya terbuka kepada pemain amatur berusia 18 tahun ke atas.
Dalam pada itu, PNAGS 2026 akan membuka tirainya di Sungai Long Golf and Country Club, Selangor pada 2 April ini, diikuti Penang Golf Resort (11 April), A’Famosa Resort, Melaka (16 April), Kelantan Golf Club (25 April).
Selain itu, Tasik Golf And Country Club, Terengganu (7 Mei), Royal Pahang Club, Pahang (14 Mei), Ponderosa Golf & Country Club, Johor (4 Jun), Sultan Abdul Aziz Shah Golf and Country Club, Perlis (18 Jun), Bintulu Golf Club, Sarawak (27 Jun), Kulim Golf & Country Club (2 Julai).
Seremban Internationl Golf Club, Negeri Sembilan (16 Julai), Meru Valley Golf & Country Club, Perak (30 Julai), Shan Shui Golf & Country Club, Sabah (16 Ogos) dan Impian Golf & Country Club, Wilayah Persekutuan (27 Ogos). – MADANI NEWS
