PAPTI anjur persidangan antarabangsa sempena tujuh dekad hubungan Malaysia-Indonesia
PERSATUAN Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) bakal menganjurkan Persidangan Antarabangsa: Menyusuri Tujuh Dekad Hubungan Malaysia–Indonesia sebagai platform memperkukuh hubungan serantau yang telah terjalin sejak sekian lama.
Persidangan yang akan berlangsung pada 23 Januari ini di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, dijangka menghimpunkan tokoh akademik, pemikir dan pengamal dari Malaysia serta Indonesia.
Presiden PAPTI, Datuk Dr Abdul Latiff Awang, berkata persidangan itu memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu warisan, seni dan budaya, pelancongan serta pendidikan, yang menjadi tunjang hubungan erat kedua-dua negara.
Menurutnya, sebanyak tiga sesi persidangan akan diadakan dari jam 8 pagi hingga 5 petang, merangkumi topik Rumpun Nusantara: Berkongsi Warisan, Seni dan Budaya; Malaysia dan Indonesia sebagai Hab Pendidikan dan Pelancongan; serta Memperkasa Pendidikan Tinggi di Malaysia dan Indonesia.
“Persidangan ini adalah yang julung kali dianjurkan bersempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun PAPTI,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, antara tokoh akademik tempatan yang akan membentangkan kertas kerja ialah mantan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Mohamed Salleh Mohamed Yasin, mantan Fellow Penyelidik Kanan ATM UKM, Prof Dr Noriah Mohamad serta Prof Emeritus Dato’ Dr Muhammad Yahya, juga dari UKM.
Sementara itu, wakil dari Indonesia turut melibatkan tokoh akademik terkemuka antaranya Rektor Universitas Islam Negeri Medan, Sumatera Utara, Prof Dr Norhayati, Pembantu Rektor IV Institut Teknologi Bandung, Dr Andryanto Rikrik Kusmara, serta Guru Besar Ilmu Hukum Universitas Nasional Jakarta, Prof Dr Rumainur.
Selain persidangan, PAPTI turut menganjurkan Pertandingan Golf Amal pada 17 Januari, manakala acara kemuncak Majlis Makan Malam Perdana akan diadakan pada 23 Januari, dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 alumni dari angkatan 1970-an hingga kini.
Untuk rekod, PAPTI ditubuhkan pada 29 November 1975 oleh sekumpulan rakyat Malaysia lepasan institusi pengajian tinggi di Indonesia. Sehingga kini, dianggarkan lebih 30,000 rakyat Malaysia pernah menimba ilmu di negara jiran itu dan kini menyumbang dalam pelbagai sektor di tanah air.
Sejak penubuhannya, PAPTI kekal aktif sebagai wadah memperkukuh hubungan “people-to-people” antara Malaysia dan Indonesia, selari dengan semangat serumpun Nusantara. – MADANI NEWS
