FELDA, FGV hargai pendekatan konstruktif Kerajaan Terengganu; operasi ladang disambung semula
KUALA LUMPUR – FELDA dan FGV menyatakan penghargaan terhadap pendekatan konstruktif dan kerjasama erat yang ditunjukkan Kerajaan Negeri Terengganu dalam rundingan berkaitan tanah-tanah yang diusahakan agensi tersebut di negeri itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, FELDA dan FGV berkata keputusan kerajaan negeri melanjutkan tempoh remedi sehingga 7 Januari 2026 mencerminkan komitmen bersama untuk mencari penyelesaian terbaik secara profesional dan terbuka.
Menurut kenyataan itu, hasil perbincangan positif tersebut membolehkan operasi ladang FGV disambung semula hari ini, selaras dengan persetujuan yang dicapai antara kedua-dua pihak.
“Perkembangan ini memberi kelegaan besar kepada para peneroka yang sejak beberapa minggu lalu berdepan ketidakpastian mengenai pendapatan, masa depan keluarga dan kelangsungan hidup mereka,” kata FELDA dan FGV.
Kedua-dua organisasi menegaskan bahawa keutamaan mereka sejak awal adalah memastikan kebajikan, keselamatan ekonomi dan ketenteraman emosi peneroka — khususnya anak jati Terengganu — terus terpelihara.
Dengan penarikan semula notis berkaitan, FELDA dan FGV kini dapat meneruskan operasi seperti biasa dan kembali memberi tumpuan terhadap peningkatan hasil, pengukuhan pendapatan peneroka serta pembangunan komuniti di tanah rancangan.
FELDA dan FGV turut menzahirkan penghargaan atas kesediaan Kerajaan Negeri Terengganu untuk meneruskan perbincangan secara profesional, sambil menyifatkan kerjasama tersebut sebagai penting demi memastikan kesejahteraan peneroka — tunjang dan nadi FELDA sejak penubuhannya — terus terpelihara. – MADANI NEWS
