Hormatilah negeri dengan segala jajahan takluknya di bawah naungan Tuanku Sultan Kedah – Mahdzir Khalid
UMNO Kedah mengecam cadangan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang mencadangkan agar Pulau Langkawi diserahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk dibangunkan sebagai Wilayah Persekutuan atau Zon Antarabangsa.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menyifatkan cadangan itu sebagai tidak menghormati kedudukan Pulau Langkawi sebagai tanah jajahan takluk di bawah naungan Tuanku Sultan Kedah serta menyinggung perasaan rakyat negeri tersebut.
Menurut Mahdzir, kenyataan Teresa itu bersifat tidak sensitif dan membelakangi prinsip kedaulatan negeri.
“UMNO Kedah menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Seputeh itu tidak menghormati Tuanku Sultan Kedah selaku Raja yang menaungi segala tanah jajahan takluknya dan juga rakyat Kedah secara keseluruhannya. Beliau sepatutnya lebih peka dan sensitif terhadap apa yang dibicarakan, walaupun dalam Dewan Rakyat yang mempunyai imuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahdzir turut menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang menyentuh institusi Sultan tidak boleh dibuat secara sembarangan, apatah lagi melibatkan hak milik tanah jajahan takluk.
“Ini bukan hal remeh seperti mengambil buah kelapa gugur di tepi jalan. Ini soal kedaulatan yang tidak boleh dikompromi,” katanya.
UMNO Kedah turut menggesa Teresa Kok membuat permohonan maaf secara terbuka kerana didakwa mengguris hati rakyat Kedah.
Menurut Mahdzir, pembangunan Langkawi boleh dipertingkat melalui mekanisme sedia ada tanpa perlu menyerahkan pentadbirannya kepada kerajaan Persekutuan.
“Di Langkawi sudah ada agensi Persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang hanya perlu diperkasakan. Langkawi tidak perlu diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan Pusat,” katanya.
Semalam, Teresa Kok mengkritik kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS yang didakwanya gagal membangunkan Langkawi, dan mencadangkan pentadbiran pulau itu diserahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk pembangunan lebih terancang.
Cadangan itu mencetuskan bantahan pelbagai pihak termasuk UMNO Kedah yang menyifatkannya sebagai tidak wajar dan menyentuh kedaulatan negeri. – MADANI NEWS
